Pelajar dakwa Umno curi gambarnya bagi propaganda anti BERSIH

Seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Atyrah Hanim Razali mendakwa gambarnya telah dicuri dan dimanipulasi oleh Umno serta disebarkan di media sosial.

Katanya, gambar asal, beliau memegang sekeping plakad bertulis “Save Ulu Papar” namun diubahsuai dengan tulisan “Kami Tolak BERSIH”.

“Umno terdesak teruk sampai curi dan photoshop gambar orang. Gambar sebenarnya adalah bersama plakad bertulis ‘Save Ulu Papar’ untuk rakan kami, aktivis Sabah,” tulisnya di Twitter.

Menurut semakan Malaysiakini, beberapa gambar aktivis lain dalam gambar yang diviralkan itu turut diubah suai. Antaranya potret Maryam Ramli Lee dan Farhan Haziq dijadikan sebagai poster.

Dalam poster itu, antara lain bertulis ‘Kami Anak Malaysia Tolak BERSIH5’ dan susunan kolaj sembilan wajah aktivis dengan memegang ‘Kami Tolak BERSIH’.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media Atyrah bersama lapan rakannya berkata mereka amat terkejut apabila melihat gambar-gambar mereka diedit, dipinda dan disiarkan di laman Facebook rasmi Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

“Gambar tersebut diambil dari gambar asal kami semasa program Strategising Unity Workshop di Corus Hotel, pada September 2015.

“Gambar tersebut pada asalnya menunjukkan gambar-gambar kami sedang memegang placard bertulis Save Ulu Papar,” kata mereka.

Menurut kumpulan mahasiswa itu, pemimpin Umno tersebut meminda gambar mereka yang diambil ketika menyertai program program perpaduan nasional yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Merdeka Centre pada September 2015.

Mereka juga menyertakan gambar asal dan juga gambar yang dipinda itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut Zein Isma meminta maaf secara terbuka dalam masa 24 jam dan seterusnya menurunkan posting tersebut.

“Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan menyusul.

“Tindakan mengedit, meminda, memuat naik gambar tersebut adalah perbuatan keji, biadap dan rendah moral. Ia dibuat bertujuan untuk memfitnah dan memburuk-burukkan kami.

“Ia juga merupakan kesalahan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyebarkan maklumat palsu di laman sosial,” kata mereka.
Sementara itu, Zein Isma ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak mengetahui gambar itu telah dimanipulasikan.

Sebaliknya, pemimpin Umno itu mendakwa dirinya hanya berkongsi setelah menjumpainya di group Whatsapp.

“Saya tak tahu, saya tolong kongsi orang punya (gambar). Banyak group yang kongsi, saya ambil dari group itu sebab saya punya group (Whatsapp) pun beratus,” katanya.

– M’kini

.