PELACURAN: UMNO WP JANGAN JADI KETAM – PKR S’GOR

Setiausaha Angkatan Muda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Umno Wilayah Persekutuan dinasihatkan supaya tidak mencampuri urusan negeri Selangor sebaliknya fokus kepada isu-isu yang menekan rakyat khususnya di Kuala Lumpur.

Justeru, ujar Syed Badli, Ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohamad Razlan Mohamad Rafii diminta menangani dahulu kegiatan pelacuran yang semakin tinggi dicatat di ibu negara selain harga caj parking yang naik mendadak.

“Pada Ogos yang lalu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendedahkan Kuala Lumpur kini berada di ranking kelapan kota pelacuran dunia dengan nisbah 52 orang pelacur bagi setiap 10,000 penduduk.

“Secara nisbah, Kuala Lumpur di ranking lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10 dengan nisbah 45 orang pelacur setiap 10,000 penduduk.

“Apakah tindakan ketua pemuda Umno Wilayah dalam usaha menangani masalah pelacuran dan lambakan rumah-rumah urut di Kuala Lumpur,” tanya beliau dalam kenyataan.

Semalam, Mohamad Razlan mempersoalkan tindakan merobohkan resort milik Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos di Sekinchan, Selangor berbanding premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor.

Sambil menyifatkan perkembangan semasa sejak akhir-akihir ini seolah-olah nasib rakyat tidak diambil endah oleh kerajaan negeri Selangor, Razlan berkata, resort milik Jamal menjadi mangsa dendam kesumat kerajaan negeri.
“Alangkah indahnya jika premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor dapat diambil tindakan pantas dan drastik sebegini. Tapi sayangnya premis haram tidak berlesen seperti di pekan Sekinchan dibiarkan saja oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Mohamad Razlan.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, Mohamad Razlan harus memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah pelacuran di Kuala Lumpur dahulu sebelum menegur negeri lain.

“Janganlah jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus tapi diri sendiri berjalan senget,” jelas beliau.

– M’kini

.