PEKERJA ASING PUN LEBIH SUKA TUN MAHATHIR DARIPADA NAJIB

Baru-baru ini, saya berkesempatan berbual-bual dengan tiga pekerja asing dari negara jiran di sebuah kedai makan yang kebetulan kami sama-sama singgah untuk mengalas perut di situ.
Dua daripada pekerja asing itu sebelum ini pernah bekerja di rumah saya pada tahun 2016 ketika saya membuat sedikit pengubahsuaian bahagian dapur, manakala seorang lagi baru pertama kali saya berkenalan dengannya.
Mereka yang berdua itu sebelum ini pernah mengatakan mereka sudah hampir 20 tahun mencari rezeki di negara kita.
Oleh kerana kebetulan saya seorang diri dan mereka pula pernah ada jasa mengubahsuai rumah saya, saya pun duduk makan semeja bersama mereka.
Sambil makan kami seperti biasa berbual-bual, tambahan lagi mereka memang peramah dan suka berbual sejak dulu.
“Macam mana sekarang, banyak kerja ke?” tanya saya.
“Susah, bos”…kata seorang daripada mereka yang hanya biasa saya sebut Didi saja sebagai panggilan namanya.
Memang sejak dulu Didi ini selalu memanggil saya dengan sebutan “bos”, barangkali itu caranya menunjukkan rasa hormat kepada kita.
Tetapi, saya tidak pernah pula menilainya sebagai “kuli” dengan memberi arahan secara keras atau menengking-nengking macam “bos-bos”  zaman dahulu yang kerap kita tonton dalam televisyen atau layar perak.
Mereka adalah sebahagian kawan-kawan saya. Dipanggil “bos”  atau tidak, saya memang akan membelanja mereka juga.
“Kenapa susah?”
“Kerja tidak banyak macam dulu, bos. Dulu banyak kerja, sentiasa saja ada orang panggil buat kerja, sekarang dalam sebulan, kadang-kadang 10 hari tiada kerja.”
“Kenapa tiada kerja?”
“Saya dengar orang sekarang tidak banyak wang, bisnes susah dan harga barang sudah mahal. Jadi, tidak ramai lagi yang mahu ubahsuai rumah mereka macam dulu.”
“Bila yang kamu banyak kerja?”
“Dulu masa Mahathir, kami selalu banyak kerja.”
“Najib lagi bagus apa daripada Mahathir?”
“Aduuhhh, bos….” kata Didi sambil dua rakannya yang lain ketawa terbahak-bahak.
Saya tidak pasti apa yang membuatkan mereka ketawa bila saya mengatakan Najib lebih bagus daripada Mahathir. Cuma, bila mereka ketawa, saya pun turut ketawa sama seolah-olah faham apa yang mereka faham.
Mungkinkah mereka juga banyak tahu cerita-cerita tentang Najib seperti skandal 1MDB, duit RM2,600 juta, kemewahan Rosmah dan sebagainya?
“Lagi satu bos, sekarang juga kami selalu kena kacau dengan polis dan Imigresen. Dulu nggak pernah macam ini.”
“Kamu kan ada permit?”
“Iya…tapi ramai kawan-kawan saya yang baru sampai atau yang kena tipu permitnya, mereka selalu dalam ketakutan. Mereka memang mahu buat permit, tapi kena cari wangnya dulu.”
“Dulu masa Mahathir, tidak banyak kami kena ganggu begini,”  kata seorang lagi pekerja asing itu yang saya biasa panggilnya dengan nama Mat saja.
“Sekarang kerap sangat, bos…” tambah Mat lagi, juga memanggil saya dengan panggilan “bos”.
“Ini Mahathir akan jadi Perdana Menteri semula kalau dia berjaya kalahkan Najib. Saya pun mahu Mahathir semula jadi Perdana Menteri, kalau boleh biar dia bina satu lagi KLCC,”  kata saya.
“Bagus itu, bos…” kata Didi dan Mat hampir serentak. Kawannya yang seorang lagi hanya mengangguk tanda setuju.
“Tapi kami nggak bisa mengundi…hanya bisa doa saja,” kata Didi lagi.
“Alhamdulillah…doa juga sudah cukup,”  kata saya lalu kemudian memohon untuk beredar setelah membayarkan makanan ketiga-tiga mereka.
Ketika berada dalam ke kereta sebelum pulang ke rumah, saya tersenyum sendirian sambil hati berkata, “pekerja asing pun tak suka Najib rupanya, macam majoriti rakyat Malaysia juga.

“Habislah Najib kali ni”.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.