PEGUAM NEGARA SWITZERLAND YAKIN DENGAN SIASATAN 1MDB

Peguam Negara Switzerland Michael Lauber yakin siasatan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB akan membuahkan hasil walaupun pihak berkuasa Malaysia enggan bekerjasama.

“Ia bukan tiada harapan, sebaliknya bertentangan sama sekali,” Lauber dipetik sebagai berkata dalam sidang media, lapor Reuters.

Katanya, siasatannya mencatat kemajuan berdasarkan laporan-laporan pengubahan wang haram, dokumen-dokumen bank diteliti dan kerjasama dengan Singapura dan negara-negara lain.

Lauber juga berkata sangat wajar bagi Malaysia untuk bekerjasama dalam siasatan itu.

Tetapi “kami masih yakin dapat menyimpulkan proses dalam bidang ini, terutamanya dalam kes terbuka terhadap dua buah bank,” katanya merujuk kepada bank swasta Switzerland BSI dan Falcon.

Pejabat Lauber pada November lalu berkata, Malaysia sekali lagi menolak permohonan bantuan undang-undang daripada Switzerland dalam siasatannya terhadap 1MDB.
1MDB, syarikat sarat hutang hasil cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sedang berdepan siasatan di sekurang-kurangnya enam negara melibatkan dana berbilion-bilion dolar selepas disyaki terdapat penyelewengan.

– M’kini