PEGUAM NEGARA JANGAN HALANG PROSES KEADILAN

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak agar Peguam Negara bertindak memulakan proses pendakwaan dengan segera berkaitan dengan isu 1MDB.

Menurutnya, beliau berasa kecewa dengan kenyataan Peguam Negara yang mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah dilakukan oleh sesiapapun dalam kes tersebut.

“Mereka (Peguam Negara) mempunyai kuasa penuh untuk mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam perlakuan jenayah tetapi tidak mengambil sebarang tindakan ke atas individu-individu yang terlibat dalam kes tersebut.

“Mungkin mereka perlu menelaah semula teks undang-undang untuk mendapati bahawa mencuri wang adalah satu kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengumumkan saman pelucutan sivil terbarunya untuk merampas AS$540 juta dalam aset yang dibeli dengan dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pemfailan pertama bagi pelucutan aset bernilai AS$1 bilion dibuat pada 21 Julai tahun lalu, dengan penyiasat AS berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.

Ketika itu, mereka mengumumkan lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset haram.

Dalam satu kenyataan yang ketiga dan terbaru, DOJ meletakkan angka yang didakwa diselewengkan itu pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang dipercayai diperolehi dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.
Sementara itu, Muhyiddin juga meminta agar Peguam Negara jangan menghalang proses keadilan mengenai isu ini.

“Sepatutnya mereka kena mendakwa individu yang terlibat, jangan beri alasan tiada bukti kerana saya tahu agensi penyiasat telah mengumpulkan bukti yang secukupnya.

“Saya juga ingin mengingatkan mereka bahawa jangan halang proses keadilan kerana ia merupakan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan keadilan itu,” katanya lagi.

– SH

.