PEGUAM KECAM MANIPULASI MEDIA PADA TULISANNYA

Anggota Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, mengecam tindakan sesetengah media memutarbelitkan pandangan peribadinya mengenai isu timbalan perdana menteri.

Menurut Zulhazmi, selepas membaca laporan di portal Utusan Online dia tersenyum kerana “kemahiran” media itu memutar belit laporan.

“Utusan Online menaikkan suatu laporan bertajuk Malaysiakini sokong Kit Siang jadi TPMĀ dengan merujuk tulisan saya di Malaysiakini.

“Setelah membaca laporan Utusan Online tersebut saya hanya mampu tersenyum dengan skilĀ putar belit Utusan yang sememangnya telah terkenal sejak sekian lama,” katanya.

Menurut Zulhazmi, pandangannya yang ditulis dan kemudian disiarkan oleh Malaysiakinisemalam dibuat berdasarkan peruntukan perlembagaan negara ini.

Kata peguam itu, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak negara ini tidak membezakan rakyatnya malah memberikan mereka hak sama rata.

Pada masa sama, katanya, terdapat beberapa peruntukan yang memberikan hak istimewa kepada Melayu.

“Hak istimewa kepada Melayu yang diperuntukkan di Perkara 153 perlembagaan tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa termasuk DAP.

“Malah DAP bersama rakan-rakan dari Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersepakat untuk mempertahankannya,” tulis Zulhazmi.

Semalam Malaysiakini menyiarkan rencana ditulis Zulhazmi yang membincangkan isu pelantikan timbalan perdana menteri dan dikaitkan dengan DAP serta Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perlembagaan Persekutuan hanya mensyaratkan seseorang yang hendak menjadi perdana menteri mestilah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan. Itu sahaja.

“Tidak ada peruntukan ia mestilah seseorang berbangsa Melayu beragama Islam.

“Paling menarik, jawatan timbalan perdana menteri yang diriuhkan sehari dua ini tidak pun diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tulisnya.

Lambang kegagalan sebar pembohongan

Di bawah ulasan itu Malaysiakini menyatakan kedudukan Zulhazmi sebagai anggota biro guaman DAP Kedah.

Hari ini Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan TV3 memuatkan laporan kononnya Malaysiakini menyokong Lim dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Malaysiakini bukanlah satu-satunya portal yang menyiarkan tulisan Zulhazmi itu.

Malaysiakini sudah membuat penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini.

Kata Zulhazmi, pendapatnya itu dibuat sebagai reaksi kepada pembantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mencabar Lim supaya “mengakui impiannya” dilantik ke jawatan berkenaan.

Sementara itu Lim dalam kenyataan berasingan berkata, “sangat kebetulan” apabila Utusan Malaysia, New Straits Times dan Berita Harian melaporkan komen berkenaan tetapi mengabaikan ia ditulis oleh Zulhazmi.

“Ini adalah campur tangan amat terang-terangan oleh seseorang yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan tiga akhbar arus perdana milik Umno untuk menentukan apa yang perlu disiarkan, bagaimana ia disiarkan dan apa yang perlu diabaikan,” katanya.
Anggota parlimen Gelang Patah itu juga memetik nama pegawai propaganda Adolf Hitler, Joseph Goebbels, untuk menegaskan hujahnya itu.

Katanya, ketika mengarahkan media milik Umno itu mengeksploitasi rencana Malaysiakini dan mengabaikan bahawa ia ditulis oleh orang di luar portal berita terbabit, “Goebbels Umno” menunjukkan kuasanya secara jelas.

“Apa yang tidak disedarinya ialah, dia juga menguar-uarkan kegagalannya sebagai Goebbels Umno untuk membolehkan pembohongan itu diterima oleh orang ramai sebagai kebenaran sebenar,” katanya.

– M’kini

.