PEGUAM AS ‘TERKEJUT’ DINAFIKAN AKSES KEPADA ANWAR IBRAHIM

KEMENTERIAN Dalam Negeri tidak membenarkan peguam Anwar Ibrahim, Kimberley Motley, akses kepada pemimpin de facto Pakatan Harapan untuk membincangkan pembebasan awalnya dari penjara.

“Penolakan permintaan saya untuk bertemu Anwar melanggar standard akses kepada keadilan antarabangsa dan mencerminkan gambaran tidak baik kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya terkejut Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid (Hamidi) dan kerajaan Malaysia enggan membenarkan pertemuan ini,” tambahnya.

Motley yang merupakan warga Amerika berkata, beliau berharap untuk bertemu Zahid dan Perdana Menteri Najib Razak untuk membincangkan pembebasan awal Anwar susulan daripada keadaan kesihatannya.

Anwar, 70, mengalami sakit belakang dan bahu kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke penjara pada September.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana sabitan kes liwat melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan dan akan dibebaskan pada Jun 2018. Motley bagaimanapun berharap Anwar dibebaskan lebih awal.

“Saya minta untuk dibenarkan bertemu dengan anak guam saya Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital atas kapasiti saya sebagai peguam antarabangsanya,” kata Motley hari ini.

“Ia adalah asas bahawa seseorang individu itu layak untuk mendapat akses kepada penasihat undang-undang pilihannya walaupun di penjara,” katanya.

Anwar dipenjarakan pada Februari 2015 kerana sabitan kes liwat. Ahli parlimen pembangkang dan pemerhati antarabangsa menyifatkan penahanan itu ssebagai bermotifkan politik.

– https://www.themalaysianinsight.com

.