PEGUAM ANWAR: KELEWATAN PENAFIAN SHAFEE TIMBULKAN BANYAK SOALAN

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai masa yang mencukupi untuk menjawap dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayarnya RM9.5 juta, kata peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan akhbar, N Surendran dan Latheefa Koya menegaskan bahawa Sarawak Report pertama kali membuat tuduhan itu pada 31 Mei manakala pelanggannya memfailkan saman itu berdasarkan tuduhan itu pada pada 9 Jun.

“Oleh itu, Shafee dengan mudah boleh memberi jawapannya sebelum saman itu difailkan. Kelewatan Shafee membuat penafian hanya meninggalkan kita dengan lebih banyak soalan yang tidak berjawab.

“Shafee juga mendakwa beliau mahu mengulas mengenai dakwaan itu lebih awal tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana saman oleh Anwar telah difailkan dan menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Ini bukan alasan yang boleh diterima kerana tidak mengulas apa-apa sebelum ini,” kata Surendran dan Latheefa.

Pada Rabu lalu, Shafee menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak masuk akal”.

“Saya memfailkan permohonan untuk membatalkannya dan juga (mengemukakan) afidavit sokongan dan saya boleh katakan sekarang ini ia adalah tidak masuk akal. Ia juga terdapat dalam afidavit yang saya failkan,” katanya sebelum ini.

Shafee memberitahu Malaysiakini demikian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Anwar untuk mengetepikan sabitan kes liwat II berdasarkan tuduhan Sarawak Report.

Tuduhan Sarawak Report menimbulkan spekulasi konspirasi terhadap Anwar apabila Shafee dilantik pada 22 Julai 2013 untuk mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan bukan melalui amalan konvensional menggunakan khidmat pendakwaraya awam.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan tersebut.

– M’kini

.