Peguam Anwar dari AS kecewa tak dapat jumpa Najib

Peguam dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley hari ini hadir ke Jabatan Perdana Menteri untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Motley yang tiba sekitar jam 11.05 pagi hanya keluar selepas lebih sejam berada di bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Bagaimanapun hasrat Motley untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu gagal apabila diberitahu mengenai kesibukan Najib.

Menurut Motley beliau telah menulis surat memohon pertemuan dengan Najib dua hari lepas namun tiada maklum balas.

“Jelas sekali saya kecewa tetapi saya memahami bahawa beliau mempunyai jadual yang padat.

“Jadi, saya tidak mahu ganggu beliau tetapi saya berharap dalam beberapa minggu akan datang saya akan dapat bertemu dengan dia secara peribadi kerana adalah sangat penting untuk kita jelaskan apa yang perlu beliau dengar, apa yang kami mahu beritahu dia,” katanya.

Motley berkata demikian kepada pemberita di luar perkarangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Motley dilantik oleh Anwar untuk membantu beberapa kes yang sedang berlangsung, termasuk semakan semula sabitan liwat pada Februari 2015.

Mahu temu sebelum pulang

Bagaimanapun, mengulas lanjut Motley berharap beliau dapat bertemu dengan Najib sebelum pulang ke Washington dua minggu akan datang.

“Jelas sekali Anwar adalah sangat penting kepada Malaysia dan untuk masyarakat antarabangsa.

“Jadi saya akan terus mendesak pertemuan dengan Najib mengenai kes Anwar yang menjadi keutamaan bagi kita dan tugas saya adalah untuk memberi tumpuan untuk pembebasannya,” kata Motley.

Malah, kata Motley beliau cuba menggunakan saluran undang-undang sedia ada bagi tujuan tersebut.

“Kami cuba dengan semua undang-undang yang ada untuk membuat perkara yang betul untuk Anwar dan Malaysia,” tambah Motley.

Motley, seorang graduan lulusan Marquette Law School pada tahun 2003, berkhidmat di Amerika Syarikat dan Afghanistan.
Beliau juga pernah membantu melatih ratusan peguam Afghanistan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan bersalah dalam kes liwat 2.

– M’kini

.