PEGUAM AKTIVIS HILANG MOHON SUHAKAM SEPINA MUFTI PERLIS

PEGUAM yang mewakili keluarga Amri Che Mat yang hilang dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu Mufti Perlis memberi keterangan dalam pendengaran kerana beliau memainkan peranan penting dalam kes itu.

Peguam keluarga Amri, K Muthiah berkata adalah penting untuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin dipanggil untuk membantu siasatan.

“Beliau memainkan peranan penting (dalam siasatan) kerana dalam kebanyakan pameran yang telah kami tunjukkan, namanya, gambar dan siaran Facebooknya yang dikendalikannya, telah diulang-ulang (semasa siasatan).

“Yang paling utama adalah beliau datang,” kata Muthiah selepas hari pertama siasatan awam kehilangan Amri di pejabat Suhakam Malaysia hari ini.

Terdahulu, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata dia mengesyaki pihak berkuasa agama negeri, Asri dan Shahidan bertanggungjawab di atas kehilangan suaminya.

Norhayati memberitahu Suhakam bahawa Asri dan Shahidan menyelar aktiviti organisasi amal suaminya, Perlis Hope membantu orang miskin.

“Shahidan turut mengutuk Perlis Hope di Facebook.

“Sementara Asri memberi amaran kepada masyarakat agar berhati-hati dnegan aktiviti Perlis Hope yang mana (katanya) ia berkait dengan keganasan,” kata Norhayati yang menjadi individu pertama memberi keterangan dalam siasatan awam kehilangan Amri.

Perlis Hope merupakan sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang diasaskan oleh Amri untuk membantu golongan susah, ibu tunggal dan kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.

Muthiah berkata, mereka telah memutuskan sebelum siasatan bermula yang mereka perlu memanggil Asri untuk hadir.

“Apabila kita melihat fakta (kes) kami dapati beliau merupakan saksi yang amat penting dalam kes ini.

“Kami telah menghantar namanya beberapa minggu lalu kepada Suhakam untuk beliau dipanggil menjadi saksi. Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai turut berkata beliau akan meminta Suhakam menghubungi Asri.”

Muthiah berkata mereka (Suhakam) akan sepina Asri untuk siasatan itu.

“Kami turut berharap Suhakam akan turut memanggil Shahidan untuk beri keterangan.

“Namanya terus timbul di sana sini. Saya harap beliau datang untuk beri keterangan (apa-apa kenyataan).

“Kami bukan cuba untuk meletakkan kesalahan ke atasnya secara individu. Kami hanya cuba mendapatkan pandangan mereka terhadap apa yang mereka nyatakan.”

Muthiah berkata, mereka masih belum meminta Suhakam untuk memanggil Shahidan.

“Kami masih lagi belum memohon untuk panggi Shahidan.

“Kita perlu melihat kepada perjalanan siasatan. Sekiranya dirasakan peranannya sigifikan (untuk siasatan) kami akan mendesak (untuk beliau hadir) bagi mendapatkan padangan lebih jelas kes itu.”

Keluarga Amri diwakili peguam Muthiah, Larissa Ann Louis, Teera Varasu, K. Muthusamy dan Amanda Yong.

Amri diculik 550 meter dari kediamannya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudiannya menemui keretanya di Bukit Chabang.

Kali terakhir dia dilihat isteri dan  keluarganya adalah pada 24 November, 2016.

Dalam laporan polisnya, Norhayati berkata terdapat kereta dan motosikal yang tidak dikenal diletakkan berhampiran kediamannya pada hari aktivis itu hilang.

Siasatan Suhakam berhubung kehilangan empat individu, bersambung hari ini selepas berehat seminggu.

Ia dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel Suhakam bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Amri, dan kehilangan tiga orang lain – Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth – adalah kes-kes kehilangan paksa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.