PEGAWAI PM TERLALU RAMAI: RAFIZI

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa melakukan pembaziran dengan meletakkan 169 pegawai dan kakitangan bertugas untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, 142 kakitangan adalah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan 27 di kediaman rasmi Seri Perdana.

“Dalam keadaan kerajaan memotong pelbagai peruntukan di kementerian lain, peruntukan di JPM masih kekal tinggi,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jika dibandingkan, Najib telah menggunakan satu pertiga daripada 475 kakitangan White House yang berkhidmat untuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

“Skop dan kerumitan pentadbiran AS beratus kali ganda lebih rumit daripada Najib,” katanya.

Rafizi turut meminta Najib menunjukkan teladan dengan menyusun kembali organisasi pejabat dan kediamannya.

“Kita bukan mahu kakitangan sedia ada diberhentikan, cuma ia perlu disalur kepada jabatan lain yang mempunyai kekosongan dan berkaitan diskripsi tugas mereka,” katanya.

Rafizi turut membalas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani mengenai isu Transit Aliran Massa (MRT) dengan menasihati menteri itu agar lebih serius ketika menjawab soalan.

“Seriuslah sedikit menjawab soalan, jangan asyik kata tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, Johari mendakwa Rafizi tidak pandai mengira kos rangkaian pengangkutan MRT apabila menyatakan kosnya melebihi RM100 bilion.

– Sinar Harian

.