PEGAWAI KEMENTERIAN GELAPKAN RM100 JUTA DIKENAL PASTI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima pegawai kementerian yang mempunyai kaitan dengan 10 syarikat untuk menggelapkan dana lebih RM100 juta.

Sumber yang mengetahui siasatan itu memberitahu New Straits Times bahawa mereka telah beberapa tahun melakukan kegiatan itu melalui projek-projek yang tidak wujud.

Terdapat juga projek didakwa tidak dijalankan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Kes ini bukan sahaya mencuri dana yang sepatutnya disalurkan oleh pembangunan infrastruktur.

“Malah program makanan pelajar miskin juga tidak terlepas,” menurut sumber seperti dilaporkan akhbar harian itu.

Kumpulan pegawai kanan di kementerian yang tidak dinamakan itu dikatakan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk menyelewengkan peruntukan yang dimaksudkan untuk projek kerajaan yang bertujuan meningkatkan kebajikan dan infrastruktur masyarakat.

Mereka sekadar mengisytiharkan di atas kertas bahawa projek telah selesai, walaupun tiada apa yang dilakukan.

“Ini membabitkan puluhan projek dan inisiatif yang sepatutnya dilaksanakan untuk membantu golongan miskin, termasuk yang bernilai antara RM500 juta dan RM1 bilion,” kata sumber yang biasa dengan perkara itu.

Oleh itu, sumber itu berkata, mereka dengan mudah telah menggelapkan kira-kira RM100 juta.

– M’kini

.