Pegawai kastam wanita dirempuh tonto meninggal dunia

KOTA BHARU – Seorang pegawai kastam wanita me­ninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini malam tadi akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda dipercayai dinaiki tonto di Banggol Chicha, Pasir Mas, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi Jumaat lalu, mangsa, Anisah Ali, 54, bersama dua anggota kastam terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan dipercayai dinaiki penyeludup rokok di kawasan kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kumpulan penguat kuasa itu kemudian cuba menahan kende­raan tersebut namun pemandunya enggan berhenti sebaliknya terus memecut.

“Ketika kenderaan penguat kuasa sedang mengejar suspek, datang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai tonto bertindak melanggar bahagian belakang ken­deraan dinaiki mereka.

“Pemandu ken­de­raan terbabit turut menghimpit kereta dinaiki mangsa dan menghalang pihak berkuasa daripada menahan rakan penyeludup,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ab. Rahman berkata, akibat daripada kejadian, kenderaan penguat kuasa terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar pokok.

“Satu tayar kereta dinaiki mangsa tercabut sebelum dirempuh sebuah kereta lain. Suspek yang menaiki Toyota Hilux itu me­ning­galkan kenderaan di tempat kejadian dan melarikan diri.

“Ketiga-tiga mangsa mene­rima rawatan di Hospital Pasir Mas. Ba­gaimanapun, Anisah di­hantar ke Hospital Raja Pe­rempuan Zainab (HRPZ) II di sini untuk rawatan lanjut. Dua anggota yang lain pula tidak mengalami kece­deraan serius,” katanya.

Beliau berkata, Anisah disahkan mening­gal pada pukul 11.15 malam kelmarin akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus dipercayai berpunca daripada kemalangan tersebut.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan dua kenderaan jenis pacuan empat roda itu dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya.

– UTUSAN

.