PEGAWAI GUAN ENG KE ACARA UMNO, TANYA ISU 1MDB

BUKIT MERTAJAM – DAP Pulau Pinang dilihat meningkatkan usaha membuat provokasi terhadap Umno berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila menghantar wakilnya  ke dialog ‘Perjuangan 4 All’ di Balik Pulau dan Permatang Pauh, khusus untuk bertanyakan tentang isu berkenaan.

Kedua-dua program penerangan oleh ketua penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa itu dihadiri oleh pegawai penerangan ketua menteri Pulau Pinang Zaidi Ahmad yang bertanyakan soalan berbentuk provokasi tersebut.

Walaupun bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia  itu mengajukan soalan sama mengenai laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung  1MDB di kedua-dua program berkenaan, Anuar melayannya dengan baik dan memberikan penjelasan kepada Zaidi.

“Semalam (Selasa malam) di Balik Pulau, Zaidi tanya soalan yang sama dan saya telah jawab… malam ini dia hadir lagi dan tanya soalan yang sama… kami tidak halang, malah saya mengalu-alukan wakil pembangkang hadir progam itu supaya mereka boleh dapat penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas program itu di Wisma Transformasi Permatang Pauh, di sini malam tadi.

Selain Annuar, program itu turut menampilkan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebagai ahli panel, manakala Datuk Shamsul Najmi Shamsudin bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Annuar turut mengingatkan anggota Umno khususnya di Pulau Pinang untuk terus kuat dan tidak terjebak dengan politik kebencian yang dimainkan DAP.

Beliau berkata Umno juga perlu buktikan bahawa parti itu sebuah parti yang bertanggungjawab dan akan terus bersama dengan rakan komponen BN untuk membela rakyat di negara ini.

— Bernama

.