‘PEDIHNYA NASIHAT TUN M SAMPAI HARI INI SAYA INGAT’

SHAH ALAM – Peluang bekerjasama dengan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan impak besar dalam diri Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Syed Abdul Rahman.

Namun begitu, terdapat satu nasihat yang menusuk kalbu membuatkan dia berazam untuk berubah.

“Saya dulu memang seorang tidak begitu tepati masa, setakat lewat seminit dua itu biasalah. Tetapi bila dengan Tun, beliau tidak suka perkara macam ini, saya ingat lagi ‘nasihat’ beliau yang hingga hari ini terasa pedihnya.

“Katanya, kalau nak masuk perjuangan tetapi diri sendiri belum diubah, tidak tepati masa, macam mana nak bawa perubahan pada semua? Saya sendiri berumur lebih 90 tahun boleh buat, apa alasan anak muda?” katanya ketika sesi FB Live Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menyatakan rasa kagumnya terhadap budaya kerja yang diamalkan oleh Mahathir.

“Saya tengok, Tun memang seorang yang amat berdedikasi dan rajin bekerja, bayangkanlah di waktu umur 92 tahun, beliau masih berusaha keras demi parti dan negara.

“Saya juga melihat Tun sebagai seorang ‘risk taker’, kalau dah tahu matlamat, beliau akan berusaha keras untuk mencapainya. Beliau juga ada beri nasihat pada saya, apabila lakukan sesuatu, niat kenalah betul barulah rasa berbaloi,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.