PAU: PEMUDA UMNO AKAN BANGKIT ISU KEBIMBANGAN ORANG MUDA

Pergerakan Pemuda Umno akan membangkitkan beberapa isu masyarakat yang dekat di hati kalangan generasi muda di negara ini pada Perhimpunan Agung Umno 2017 yang bermula pada 5 Disember ini.

Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata isu-isu itu antaranya berkaitan agenda sosial, kesihatan mental dan langkah terbaik menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kita (Pemuda) angkat isu-isu ini bukan sahaja untuk Perhimpunan Agung Umno tetapi sebagai gerak kerja kita menjelang PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di ibunegara hari ini.

Menurutnya Pemuda Umno juga menyifatkan kesemua isu itu perlu ditangani dengan baik bermula sekarang kerana selain untuk persediaan menghadapi PRU akan datang, penjelasan yang baik juga dapat memastikan generasi muda memahami aspirasi kerajaan terutama berkaitan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata bagi membantu anak-anak muda berdepan dengan tekanan hidup, Pemuda Umno akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERI) di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam menangani hal, antaranya berkaitan jenayah remaja, gejala sosial, dadah dan ponteng sekolah.

“Dalam usaha menjuarai isu kesihatan mental, Pemuda menyifatkan ini antara ancaman hebat yang melanda golongan belia bukan sahaja dari segi fizikal tetapi emosi, psikologi, siber buli dan kecaman di media sosial.

“Selain itu, kita masih kekal memperjuang isu kos sara hidup. Kita perjuang kesemua isu ini berdasarkan ‘track record’ kita dan perancangan yang diatur khasnya kepada golongan belia,” kata Khairy.

Beliau berkata pada perhimpunan itu juga, Pemuda Umno akan menjadikan pentas utama orang Melayu itu untuk memberi kesedaran mengenai kesan buruk kepada negara jika rakyat gagal membuat pilihan tepat pada PRU nanti.

“Mesej ini adalah serius mengenai PRU. Bukan sahaja melibatkan pemilihan kerajaan tetapi juga masa depan negara yang penuh simpang, transformasi dan gangguan dalam dan luar negara,” katanya.

– Bernama

.