PAU KALI INI ADALAH YANG TERAKHIR…: WANITA UMNO

KUALA LUMPUR – Seluruh jentera Umno harus bekerja kuat memerangi fitnah dan dakyah pembangkang.

Exco Wanita Umno, Datuk Jamelah Abu Bakar berkata, pembangkang akan mengambil alih takuk pemerintahan negara sekiranya pembohongan mereka tidak dibanteras segera.

“Pilihan raya sedang menghampiri, anggaplah kita kini sedang berperang.

“Kita dah buat terlalu banyak untuk rakyat, namun pembangkang senang-senang putar belit isu dan burukkan kita,” katanya ketika ditemui Sinar Online, di PWTC, hari ini.

Menurutnya lagi, perjuangan parti harus dilakukan demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang daripada janji-janji palsu pembangkang.

“Ini juga adalah untuk generasi akan datang. Untuk TN50.

“Kalau pembangkang memerintah, TN50 dan nasib penjawat awam akan hancur musnah.

“Landasan yang sudah terbina perlu kita pertahankan hingga ke generasi akan datang,” jelasnya.

Beliau turut meminta seluruh ahli Umno mengambil iktibar atas amanat yang disampaikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan dasarnya, semalam.

“Perhimpunan Agung Umno kali ini adalah perhimpunan yang terakhir sebelum menjelangnya pilihan raya.

“Ia adalah petanda yang ini adalah fasa terakhir sebelum pilihan raya, perang tetap perang, lawan tetap lawan,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.