PATUTKAH MB JOHOR JUGA BERCUTI, SOAL KIT SIANG

Memandangkan segala urusan tanah terletak di bawah bidang kuasanya, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin mungkin perlu mempertimbangkan keputusan untuk bercuti sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penukaran status tanah bumiputera di negeri itu, kata Lim Kit Siang.

Pemimpin veteran DAP itu merujuk kepada skandal sogokan jutaan ringgit yang melibatkan penukaran lot perumahan bumiputera kepada bukan bumiputera di Johor.

Setakat ini, SPRM telah menahan enam orang termasuk anak dan pegawai khas exco Johor Datuk Abd Latif Bandi berhubung perkara itu.

Susulan penangkapan itu, 45 akaun milik suspek yang mengandungi simpanan sekitar RM15.5 juta dibekukan, selain 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM500,000 serta pelbagai dokumen dirampas

Abdul Latif juga dilaporkan sedang bercuti sementara menunggu siasatan SPRM.

“Patutkah Khaled bercuti seperti Abdul Latif?” soal Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga berhujah bahawa Khaled sebagai menteri besar tidak mungkin tidak menyedari bahawa anak Abdul Latif hidup mewah di luar kemampuannya.

“Dan soalannya, adakah beliau menyoal Abdul Latif sama ada kekayaan luar biasa anaknya itu berkaitan dengan sebarang penyalahgunaan kuasa atau cara rasuah?” katanya.
Dalam mana-mana kes, Lim berkata, tumpuan kini adalah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor akan datang dan apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan.

Beliau berkata, ADUN Pekan Nanas Yeo Tung Siong, semalam telah mengemukakan usul tergempar, menggesa pembentukan sebuah jawatankuasa hak untuk memantau siasatan rasuah apabila sidang DUN diadakan pada 9 Mac.

“Membisu dan tidak bertindak bukan pilihan untuk Khaled kerana beliau perlu bersuara lantang berhubung apa yang kerajaan Johor akan lakukan untuk memerangi rasuah di negeri ini,” kata Lim.