PAS TOLAK MALAYSIAN MALAYSIA, CAUVINIS

Untuk kesekian kalinya PAS menegaskan mereka mampu memimpin negara dengan berbekalkan kontrak sosial sedia ada bersama tafsiran sebenar Islam.

Pada masa sama parti itu tidak sekali-kali sedia bekerjasama dengan parti yang jelas sekularnya atau bersikap pragmatik dan opurtunis tanpa istiqamah hingga melanggar sempadan dipertahankan mereka.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam juga berkata Islam menolak Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman walaupun agama itu tidak menafikan keperluan kehidupan duniawi.

Merujuk “kontrak sosial” itu sebagai perlembagaan persekutuan Abdul Hadi mengajar rakyat menolak mana-mana parti yang mahu merungkai asas berkenaan, sama ada melalui pilihan raya atau tindakan undang-undang yang berani demi menyelamatkan negara dan rakyat.

Bagaimanapun anggota parlimen Marang itu tidak menjelaskan maksud “tindakan undang-undang yang berani” itu.

Pada masa sama PAS enggan mengambil langkah semberono dengan kelemahan kerajaan sedia ada.

“Walaupun adanya kelemahan dalam pengurusan atau bersifat penyelewengan sekalipun, PAS menolak tindakan membakar kelambu kerana marahkan nyamuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jangan ulang 13 Mei

Tanpa menjelaskan pihak yang disasarkan secara jelas dipercayai Abdul Hadi menujukan kenyataan itu kepada DAP.

Parti itu memang memperjuangkan dasar Malaysian Malaysia sejak beberapa dekad lalu dan dilabel sebagai cauvinis sekian lama.

DAP kini menjadi satu daripada seteru utama PAS walaupun kedua-duanya pernah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat sebelum gabungan itu berkubur beberapa tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.

DAP pula – serta Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan oleh bekas anggota PAS yang diketepikan pada 2015 – mengecam Abdul Hadi dan kepimpinannya yang didakwa semakin lunak kepada Umno.

Umno – serta presidennya Datuk Seri Najib Razak – kini menjadi sasaran utama pembangkang atas tuduhan salah guna kuasa serta penyelewengan, terutama membabitkan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Abdul Hadi menjelaskan peristiwa 13 Mei 1969 tidak boleh berulang lagi.

“Begitu juga ruang campur tangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka – hendaklah dihalang lebih awal,” katanya.

– M’kini

.