PAS TIDAK SERAH NAMA CALON PRU14 PADA SPRM

SHAH ALAM – Pas tidak berhasrat menyerahkan senarai nama bakal calon parti itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tapisan oleh Majlis Syura sudah memadai untuk parti Islam itu menyaring bakal calon.

“Pas tidak akan menyerahkan senarai calon kerana kita mempunyai tapisan oleh syura yang turut meneliti kelayakan calon daripada  aspek syarak.

 “Dalam Pas, calon yang fasik pun tak layak jadi calon parti,” ujarnya.
 Maka katanya, tidak perlu untuk SPRM mencampuri urusan parti-parti politik.

“Pandangan saya, SPRM tak perlu campur tangan urusan politik. Memadai bagi parti politik memastikan calon mereka tidak terlibat dengan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang undang negara,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, pelawaan SPRM terhadap parti politik itu secara tidak langsung telah mencampuri urusan parti.

“Apabila SPRM mencadangkan parti politik menghantar senarai bakal calon pilihan raya kepada mereka, SPRM telah melibatkan diri dalam urusan politik.

“SPRM sepatutnya kekal bebas tidak perlu masuk campur urusan parti politik,” katanya.

Iskandar berkata, penglibatan SPRM itu menyebabkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terhakis.

“Apabila mereka terlibat di dalam politik maka keyakinan rakyat terhadap mereka akan terhakis,” katanya.

Iskandar berkata, tindakan SPRM itu dibimbangi mempengaruhi keputusan parti politik.

“Walaupun yang menentukan calon masih parti politik tetapi SPRM berupaya mempengaruhi keputusan dengan ulasan-ulasan mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada usaha untuk mencegah rasuah dan bukan menentukan siapa calon.

“Banyak kes rasuah yang masih belum selesai. Beri tumpuan kepada kes-kes tersebut.

“Biar parti politik membuat keputusan dan menanggung apa sahaja kesan daripada keputusan tersebut,” katanya.

– Sinar Harian

.