PAS TIDAK KUAT BERGERAK SOLO?, TUNGGU PRU’

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad merasakan kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa politik solo dimainkan parti tersebut tidak mampu menarik undi PRU 14 kelak adalah tidak berasas.

Menurutnya, berdasarkan sambutan yang diterima Pas selama ini bermaksud sebaliknya.

“Kita nak tanya dia (Mahfuz) sendiri, tengok sambutan yang diterima Pas, buat majlis, berapa ramai yang datang. Jadi tak nak cakap banyak, kita jawab dengan amalan, jawab dengan program yang kita lakukan untuk ahli-ahli Pas.

“Lagi satu, kita jawab lepas PRU14, tengok sendiri keputusan nanti macam mana, tak perlu nak cakap besar sekarang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

Terdahulu, Mahfuz mendakwa politik solo Pas akan mendatangkan kerugian pada rakyat negara ini.

Katanya, Pas sangat kuat namun tidak mampu mempengaruhi lonjakan undi.

– Sinar Harian

.