PAS: TIDAK ADA GUNA JATUHKAN KERAJAAN SEKARANG

PAS bimbang Malaysia bakal diterajui oleh parti yang berpaksikan kepada perjuangan sosialis jika kerajaan sedia ada tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak ada guna menjatuhkan kerajaan sekarang tetapi membiarkan parti sekular sosialis memerintah.

“Apa yang dibimbangkan, jatuhnya sebuah kerajaan sekular nasionalis tetapi diganti dengan sekular sosialis, kalau itu terjadi, PAS kena ambil masa 60 tahun untuk jatuhkan kerajaan sekular sosialis dan diganti dengan kerajaan Islam.

“Tidak guna dapat jatuhkan kerajaan yang ada sekarang tetapi yang naik ialah kerajaan sosialis, saya harap saudara memahami tuntutan semasa yang memerlukan kita buat persiapan secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 di dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Alor Setar, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad tidak mengulas lanjut mengenai parti sekular nasionalis dan parti sekular sosialis yang disebutnya tetapi jelas merujuk masing-masing kepada Umno/BN dan DAP.

Sehubungan itu, Ahmad yang juga adalah menteri besar Kelantan bagi mengelakkan perkara itu daripada berlaku, PAS perlu bekerja keras bagi menjadi parti pemerintah.

“Saya harap kita semua memahami tuntutan ini dan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi cabaran untuk berjuang memastikan gerakan Islam berjaya di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS di Kompleks PAS Kedah berkata, PAS sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik tetapi dengan syarat parti itu menjadi peneraju.
“Kita tidak tutup pintu rundingan dan ia sentiasa terbuka untuk tahaluf siyasi tetapi andainya DAP dan Parti Amanah Negara atau mana-mana parti yang bersedia mengikut syarat terbabit, maka tidak ada sebab untuk kita tolak.

“Kali ini, kita akan memimpin. Syarat itu perlu, kerana bagi kita apa jua yang dilakukan perlu mengutamakan Islam. Malaysia hanya boleh diselamatkan melalui pelaksanaan syariat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucaptamanya yang menegaskan PAS akan memimpin berdasarkan syarat tahaluf siyasi manakala musyrikin dan kafir harbi boleh diperangi sehingga tunduk kepada pemerintahan Islam.

– M’kini

.