PAS TETAP BENTANG RUU355 PADA SIDANG PARLIMEN KALI INI – HADI

MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap akan membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 pada persidangan Parlimen kali ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-undang itu, PAS tetap akan membentangkan sebagai rang undang-undang persendirian dan berharap kerajaan akan menyokong tindakan itu.

“Masa itu, terpulanglah kepada Yang Dipertua untuk menentukan bila waktu yang sesuai mengikut ‘Standing Order’ perjalanan sidang Parlimen selepas urusan kerajaan.

“Tapi, sudah tentu kerajaan boleh beri masa bila-bila sahaja untuk PAS bawa RUU355…saya seru semua Anggota Parlimen Islam supaya menyokong dan bagi yang bukan Islam pula, hormatilah Perlembagaan.
“Perlembagaan menyatakan ini hak yang berkait dengan orang Islam sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini, Jumaat.

RUU355 dibentangkan buat pertama kalinya oleh Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 dengan tujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

– Mstar