PAS TERKEJUT CLARE PETIK NAMA AMBIGA

PAS menganggap pendedahan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang menyebut peguam Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai sumbernya sebagai satu kejutan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pihaknya masih hairan dengan kenyataan itu kerana peguam kanan terbabit “tidak pernah bercakap” mengenai isu dana RM90 juta yang dikaitkan dengan PAS itu.

Katanya selama ini yang banyak bercakap mengenai tuduhan bahawa PAS menerima dana daripada Datuk Seri Najib Razak itu ialah pihak lain.

“Apabila Brown menamakan Ambiga sebagai sumber, ia menjadi satu kejutan kepada PAS, kerana yang bercakap mengenainya adalah pihak-pihak lain,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata PAS enggan campur tangan dalam isu itu sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat penilaian.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Clare yang juga pe­ngasas Sarawak Report memetik nama Ambiga dalam kenyataan pembelaannya terhadap saman dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Clare dilaporkan berkata, Ambiga memberitahunya mengenai Najib, PAS dan isu 1MDB pada Julai tahun lalu selain menjelaskan bahawa sumbernya itu boleh dipercayai.

Pada April lalu, PAS menfailkan saman fitnah ke atas Clare di mahkamah London.

Dalam saman ter­sebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam satu tulisan Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection bertarikh 6 Ogos 2016.

Artikel itu mendakwa wang berkenaan bertujuan menyogok PAS supaya menyebelahi BN.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata beliau tidak bercadang mengulas lebih mendalam isu tersebut.

“PAS menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan isu ini dan kami dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang komen kerana ia boleh menjejaskan perjalanan kes tersebut di mahkamah,” jelasnya.

– M’kini

.