PAS TEGUR NAJIB SECARA TERTUTUP, KATA HADI

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan rekodnya mengkritik kerajaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berkata beliau menegur Perdana Menteri Najib Razak secara tertutup.

“Kami bercakap tentang isu 1MDB di Parlimen dan meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja (ditubuhkan untuk menyiasat) tetapi tidak diterbitkan kerana media tidak mesra dengan kami.

“Kami juga berjumpa Najib. Kami berjumpanya tetapi tak minta projek dengannya. Kami tegur dia. Kami tak hanya tegur dia di Parlimen tetapi kami juga kata kepadanya secara bersemuka.

“Jika dia zalim, kami kata dia zalim di depannya. Kami tak takut. Kami buat dengan Dr Mahathir Mohamad dulu juga,” kata Hadi kepada hadirin sesi dialog terbuka NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Katanya ketika pihak lain meminta projek dengan Najib, PAS memarahinya dan menasihatinya secara tertutup.

“Kami adalah pembangkang yang menasihat bukan hanya marah.”

Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang peserta, S Rajoo yang bertanya mengapa pemimpin parti Islam itu berdiam diri dalam isu berkaitan Najib dan 1MDB.

Hadi juga ditanya mengapa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, katanya, ia berlaku kerana PKR dan DAP tidak menghormati perjuangan parti Islam itu.

“Mereka tak boleh sentuh dasar kami tetapi mereka (sampai) menentang isu hudud di Kelantan.
“PKR opportunist dan tak konsisten, DAP pula chauvinist.

“DAP mahukan pilihan raya majlis tempatan di kawasan bandar tapi kami tentang. Jika pilihan raya diadakan di kawasan bandar, berdasarkan demografik, hanya satu kaum akan menang dan ia akan menyebabkan ketegangan.”

Katanya lagi, dua parti itu juga mengeluarkan kenyataan menentang PAS tanpa berbincang dengan parti itu.

“Budaya mereka tak konsisten dengan kami,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Mengenai sama ada PAS akan menyertai Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan, Hadi berkata ia tidak mungkin.

“Dr Mahathir akan menggunakan dasar lamanya. Dan jika itu berlaku tidak akan ada kerjasama,” kata Hadi.

Sesi dialog itu dihadiri belasan NGO orang India dan disiarkan langsung menerusi akaun Facebook PAS Pulau Pinang.

Ini adalah cubaan pertama PAS mendekati orang bukan Islam selepas berpisah daripada gabungan pembangkang yang sebelum ini membentuk Pakatan Rakyat. PAS juga enggan menyertai pakatan pembangkang baru, Pakatan Harapan.

– http://dialograkyat.blogspot.my

.