PAS TANDING SEBANYAK MUNGKIN KERUSI, KATA HADI

Dari pentas penutup Fastaqim 2.0 semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melontarkan isyarat parti itu akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Abdul Hadi berkata, kehadiran penyokong yang kebanyakannya golongan muda yang memenuhi program itu menunjukkan PAS memiliki masa depan yang cerah.

“Ada pihak mendesak supaya PAS tinggalkan perjuangan Islam. Pernah juga ada desakan mahu PAS gugurkan perkataan Islam.

“Namun Majlis Raja-raja Melayu mengarahkan Majlis Fatwa membuat kajian. Dan akhir dirumuskan tidak menjadi kesalahan menggunakan nama Islam pada parti politik,” katanya pada ucapan penutup Fastaqim 2.0 di Pantai Tol Jembal, Kuala Nerus,  malam tadi, seperti dilaporkan Harakah Daily.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang itu berkata, kemenangan bukan segala-galanya dan PAS akan terus kekal walaupun tewas dalam pilihan raya.

“Sedangkan parti parti lain mati selepas kalah dalam pilihan raya. Kita juga memilih demokrasi berbanding kaedah lain bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan rakyat,” katanya lagi.

Katanya lagi, PAS juga kekal dengan prinsip perjuangan walaupun ada pemimpin yang meninggalkan parti itu.

“Meskipun ada yang melompat, menyeleweng, melarikan diri (masuk parti lain) PAS tidak berganjak kerana rakyat bersama PAS, biarlah mereka yang meninggalkan PAS, terjun dengan labu-labunya.

PAS makin lama makin berkembang, makin hari makin ramai pengikutnya seperti yang kita saksikan hari ini,” katanya seperti dipetik Bernama.

Fastaqim 2.0 berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu merupakan himpunan dwitahunan yang diadakan parti, itu dengan kali pertama di Kota Bharu, Kelantan pada 2015.

Selain ucapan pimpinan utama, himpunan kali ini menyaksikan beberapa tokoh, antaranya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaffar naik ke pentas untuk menyatakan sokongan kepada parti itu.

– M’kini

.