PAS TAKKAN KERJASAMA, BERI AMANAH, DAP KERUSI

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menjelang pilihan raya akan datang.

Bertegas untuk tidak memberikan sebarang kerusi buat Amanah dan DAP, Tuan Ibrahim berkata, tindakan itu dibuat berikutan rasa kecewa pihaknya terhadap kedua parti tersebut.

“Amanah tidak ada kerusi, macam mana nak bekerja dengan orang yang ada kerusi?

“Saya rasa mereka hanya nak bekerjasama kerana mereka mahukan kerusi. Pas sebelum ini sudah memberitahu, yang kami akan pertahankan kerusi yang ada,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Amanah terdahulu menyatakan kesediaan untuk membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk Pas sekiranya mahu bekerjasama menumbangkan BN.

Timbalan Presidennya, Salahudin Ayub mengumumkan kesediaan itu ketika ditemui pemberita seusai penyerahan memorandum bantahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke Istana Negara, Mac lalu.

Menurut beliau, Pas memang bermuafakat bekerjasama dengan rakan-rakan parti politik setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, Pas hanya akan bagi kerusi terhadap parti yang bermuafakat dengan mereka pada pilihan raya.

“Amanah keluar bawa lari dengan kerusi sekali. Dah bawa lari kerusi Pas, amanah apa macam tu?

“Yang penting sebenarnya apakah nilai tambah kepada parti yang baharu ditubuhkan? Kalau tarik ahli Umno maka adalah nilai tambah.

“Kalau Amanah (pembangkang) tarik ahli Pas (pembangkang) maka tidak ada nilai tambahnya,” bidasnya.

–¬†http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-takkan-kerjasama-beri-amanah-dap-kerusi-1.596205

.