PAS TAK TUTUP PINTU, CUMA …

SHAH ALAM – Pas tidak pernah menutup pintu buat tetamu yang tahu adab bagaimanapun Pas tidak mungkin membiarkan rumah tangganya diganggu lagi, demikian ujar Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurutnya, pihaknya boleh berkawan dengan siapa sahaja asal rakan mereka sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangan Islam.

“Islam adalah dasar perjuangan Pas. Berdiri teguh di atas dasar perjuangan Islam ini adalah prinsip Pas.

“Menang atau kalah dalam pilihan raya, Pas tetap bersama perjuangan Islam. Pas mendambakan kemenangan namun prinsip perjuangan ini tidak akan digadai pajak semata-mata untuk memburu kemenangan,” ujarnya seperti yang dipetik menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya lagi,meskipun Pas mengamalkan dasar keterbukaan dalam perjuangan parti, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap kemungkaran sehingga menghakis nilai dan makna Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

“Pas melalui budaya politik matang dan sejahtera sangat mudah didekati dan mendekati mana – mana pihak, selama dasar dan prinsip perjuangannya tidak dicabar dan diganggu.

“Namun Pas tidak boleh membiarkan dirinya ditolak beransur-ansur oleh petualang serta penyangak politik yang tamak dan haloba,” tegasnya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dipetik sebagai berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama pembangkan termasuk Pas bagi membincangkan hal berkaitan PRU14.

SINAR HARIAN

.