PAS TAK PERLUKAN MAHATHIR YANG ANGKUH

Tun Dr Mahathir Mohamad belum puas dengan gaya kepimpinan diktatornya. Kini beliau mahu menguasai PH (Pakatan Harapan – HARAPAN).

Memang beliau boleh menguasai HARAPAN dan HARAPAN dilihat sangat perlukan orang seperti Dr Mahathir untuk kekalkan survival politik mereka. Tetapi tidak PAS.

PAS tidak perlukan pemimpin angkuh seperti Dr Mahathir. Dr Mahathir sebenarnya bukan merendahkan PAS tetapi gerun dengan keupayaan PAS.

Target (sasaran) utama Dr Mahathir bukan untuk mengalahkan Umno tetapi sasaran utama beliau ialah PAS. Hasil dendam dan keangkuhan beliau yang gagal menundukkan PAS agar menurut kemahuannya menyebabkan beliau meletakkan PAS sebagai musuh utama.

Serangan beliau sering dihalakan kepada PAS. Namun mereka cuba bersembunyi di sebalik tohmahan yang mereka cipta kononnya PAS akan bergabung dengan Umno dan memenangkan Umno melalui pertandingan tiga atau empat penjuru.

PAS tidak akan pernah berganjak dari pendiriannya. Sejak dulu PAS konsisten menentang kemungkaran politik dan ekonomi negara tanpa mengira dari blok mana kemungkaran itu berlaku.

Saban kali pilihan raya umum menyaksikan PAS menentang Umno sama ada di peringkat parlimen mahupun DUN. Satu lawan satu.

Malangnya sehingga kini beberapa parti lain seperti PAN (Parti Amanah Negara – AMANAH) membuat pengisytiharan bahawa mereka akan bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PAS.

Maka inilah yang akan membuatkan berlakunya tiga atau empat penjuru. Kenapa mereka nak salahkan PAS?

PAS akan mempertahankan kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi PAS sejak sekian lama.

Kenapa salahkan PAS?

Jika benar mahu satu lawan satu, sepatutnya mereka bahagi-bahagi kerusi di kalangan kompenan HARAPAN tanpa mengganggu kerusi PAS.

Malangnya mereka gagal selesaikan pembahagian kerusi sesama mereka. Mereka nak masuk bertanding di kawasan PAS bertanding, kemudian mengisytiharkan bahawa PAS punca berlakunya tiga atau empat penjuru dan memberi kemenangan kepada Umno.

Jenaka kelas mana Dr Mahathir lakukan ini?

Sebagai contoh, saya kemukakan di sini kerusi DUN Semantan.

Sejak sekian lama kerusi itu ditandingi oleh PAS melawan Umno. PAS menang dua penggal di DUN Semantan. Malangnya ADUN di situ lari menyertai AMANAH.

Apapun PAS akan kembali mengambil DUN Semantan dan bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk menentang Umno di kerusi tersebut.

Sekali lagi malang berlaku, AMANAH dilihat berminat untuk bertanding di DUN Semantan.

Persoalannya, siapa yang membuatkan berlakunya tiga penjuru? Kenapa mereka salahkan PAS?

Tidak mungkin PAS menyerahkan kerusi Semantan kepada AMANAH atas beberapa sebab yang sangat kukuh.

Pertama: Kerusi itu adalah kerusi PAS sejak sekian lama dan memenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Kedua: AMANAH tidak mempunyai kekuatan dan jentera yang baik untuk menentang kekuatan Umno di Semantan.
Selayaknya nafsu besar ingin bertanding di satu-satu kerusi mestilah diselarikan dengan kekuatan dan jentera parti bagi menghadapi parti lawan. Baru nampak kejujuran berjuang.

Ini tidak, hanya tahu dan mahu menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri.

– M’kini

.