Pas tak akan serah kerusi kepada Pakatan

TEMERLOH – Pas Pahang tidak akan menyerahkan semua kerusi ditandingi pada PRU13 kepada mana-mana komponen Pakatan Harapan.

Pesuruhjayanya, Rosli Abd Jabar berkata, kerusi ditandingi Pas pada PRU13 yang lalu adalah hasil muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kini Pas dan PKR masih berada di dalam Pakatan Rakyat, justeru semua kerusi antara Pas dan PKR berdasarkan kepada status quo.

“Suasana politik terkini memungkinkan Pakatan Harapan akan bertanding di kerusi Pas melalui komponennya, sama ada Amanah atau DAP.

“Pas Pahang menegaskan bahawa jika Pakatan Harapan bertanding di kerusi Pas bertanding, Pas Pahang juga akan meletakkan calonnya termasuk di kerusi PKR bertanding.

“Kerana PKR adalah komponen Pakatan Harapan, maka diharapkan PKR dapat berbincang sebaik mungkin untuk rakan-rakan Pakatannya tidak mengganggu kerusi Pas bertanding,” katanya.

Rosli berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang baru-baru ini, kerana jentera Pas telah bekerja di setiap Dun Pas bertanding sejak bertahun lalu dan lebih agresif  apabila hampir pilihan raya.

Beliau berkata, jika Pas menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan pasti akan melemahkan jentera pilihan raya Pas yang kini sedang bersemangat untuk menghadapi PRU14.

Pas tidak mungkin akan menerima Pakatan Harapan selagi di dalamnya ada DAP dan Amanah walaupun di dalamnya ada PKR yang sangat mesra dengan Amanah, tetapi masih bertahaluf dengan Pas.

“Pas tidak mungkin akan bertolak ansur untuk membenarkan Pakatan Harapan bertanding di kerusi Pas.

“PKR dan DAP boleh berbincang sesama mereka untuk memberikan kerusi mereka kepada Amanah, bukan ambil kerusi Pas.

“Pas tidak akan bertanding di kerusi PKR bertanding, namun Pas Pahang tegaskan sekali lagi bahawa Pas Pahang akan bertanding di mana-mana kerusi sekalipun termasuk kerusi yang ditandingi PKR jika ada salah satu kerusi Pas dicerobohi oleh Pakatan Harapan.

“Pas bukan sahaja bersedia untuk bertanding tiga penjuru, malahan beberapa penjuru sekali pun dan inilah juga kesediaan di peringkat akar umbi Pas, Pas nekad untuk bertegas apatah lagi setelah pengerusi DAP Pahang mengeluarkan kenyataan menghina kepimpinan Pas dan menghalau Pas keluar dari bumi Pahang dalam ucapannya di Raub baru-baru ini, kenyataan ini sangat menghiris hati ahli Pas,” katanya.

Rosli berkata, keutamaan Pas ialah memperjuangkan prinsip Islamnya demi kebaikan rakyat dan pada masa sama Pas tetap akan menentang Umno dan BN dan sesiapa sahaja yang menghalang Pas dari perjuangkan prinsipnya.

“Pas tidak akan berganjak walau seinci pun, Insya-ALLAH Pas akan terus mengharungi cabaran politik negara bersama rakan-rakan di dalam Gagasan Sejahtera’,” katanya.

– Sinar Harian

.