PAS tak akan percaya Muhyiddin kerana lidah bercabang – Nazri

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin sekiranya PAS menjalinkan kerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin ia hanya akan membawa mudarat kepada parti Islam itu.

Selain itu katanya, PAS tidak akan mempercayai Muhyiddin kerana bekas timbalan presiden Umno itu disifatkannya sebagai pemimpin lidah bercabang, lapor Mingguan Malaysia.

Nazri berkata, PAS tidak perlukan Muhyiddin kerana parti itu memiliki kekuatan tersendiri dalam memikat pengundi Melayu dan Islam.

“Muhyiddin suatu masa dahulu merupakan orang yang memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu dan menyebut dirinya sebagai pemimpin Umno totok, tetapi pada hari ini, dia menjadi pengkhianat besar bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pada saya, orang seperti ini diibaratkan sebagai lidah bercabang dua. Waktu dalam Umno, akan menghukum mereka yang menentang parti sebagai mahu menghancurkan Islam dan Melayu, tetapi hari ini, dia pula mengaku mendapat sokongan PAS. Saya fikir itu adalah tidak benar,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Muhyiddin bahawa beliau mendapat komitmen daripada PAS untuk membentuk blok pembangkang baharu dalam usaha menewaskan BN dalam Pilihan Raya Umum ke14- PRU14.

Menurut Muhyiddin, penyertaan komitmen tersebut diterima beliau ketika menghadiri sebuah majlis politik yang diadakan di Kemaman, Terengganu beberapa hari lalu walaupun belum dapat menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, beliau ketika diminta mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh sebagai Setiausaha Agung PPBM turut menyifatkan PPBM tidak mempunyai sokongan.

“Saya ingin bertanya balik kepada ADUN Jorak ini, dahulu dia menang atas tiket parti apa? Kepada mereka yang dahulu bertanding atas nama BN tetapi sekarang ini sudah lari, satu sahaja (yang boleh disebut) iaitu pengkhianat.
“Masyarakat Melayu memang tidak boleh terima pengkhianat. Kita pendekar tidak tikam daripada belakang. Hanya pengkhianat sahaja yang buat perangai sebegini,” kata Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas

Nazri turut tidak menyalahkan Shahruddin kerana percaya tindakannya menyertai PPBM didorong oleh ‘ajaran’ Mahathir selain desakan oleh penyokong Muhyiddin.

– M’kini

.