PAS SERU TUN M TINGGALKAN DAP

KOTA BHARU – Pas menyeru Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya meninggalkan DAP kerana tindakan bekas Perdana Menteri itu yang semakin rapat dengan parti tersebut merugikan beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, berdasarkan pengalaman mereka dengan DAP, parti itu hanya ingin mempergunakan pengaruh PPBM yang ditunjangi bumiputera khususnya Dr. Mahathir selaku Pena­sihat untuk meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu.

Beliau berkata, kerjasama an­tara PPBM dengan Pas adalah jauh lebih baik daripada mereka terus bersama DAP serta PAN.

“Apa yang kita lihat hari ini begitulah keadaannya, DAP ha­nya mempergunakan Dr. Mahathir dan PPBM untuk meraih sokongan.

“Yang untungnya adalah untuk mereka (PPBM) meninggalkan DAP dan PAN tetapi marilah bersama dengan kita, itu lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hubungan yang semakin erat antara Dr. Mahathir dan PPBM dengan DAP sejak akhir-akhir ini.

Terbaharu, bekas Perdana Menteri itu semasa menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP sanggup mengakui bahawa pandangan beliau terhadap parti itu sebelum ini sebagai perkauman adalah salah.

Tindakan itu jelasnya, bertentangan dengan pendirian Dr. Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang sering mengingatkan mengenai ancaman politik yang dibawa DAP kepada orang Melayu.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-seru-tun-m-tinggalkan-dap-1.417613#sthash.JXgw5bcC.dpuf

.