PAS SELANGOR NAFI EXCO BAKAL DIPECAT

SHAH ALAM – Pas Selangor menafikan dakwaan bahawa tiga exconya akan dipecat daripada pentadbiran Kerajaan Selangor selepas parti itu menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, kedudukan tiga exco Pas itu dikekalkan sehingga Dun dibubarkan seperti yang dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Tidak timbul isu (pecat) ini. Pada pertemuan dengan menteri besar semalam pun, Mohamed Azmin tidak mengeluarkan kenyataan untuk memecat mahupun meminta exco Pas untuk melepaskan jawatan mereka masing-masing.

“Ini hanyalah andaian dan khabar angin pihak luar sahaja. Kita berpendirian untuk kekal kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pelbagai pihak serta laporan beberapa media hari ini bahawa Mohamed Azmin dijangka memecat kesemua exco Pas tersebut selepas Majlis Syura Ulamak Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tiga exco berkenaan adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus  dan Iskandar ketika ditanya mengenai isu itu berkata, Mohamed Azmin dalam pertemuan kelmarin tidak langsung mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan.

Ahmad Yunus berkata, tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar berhubung isu pemecatan itu.

“Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini. Kita sendiri tidak tahu siapa yang mencipta isu ini.

“Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco Pas) dalam Kabinetnya,” katanya.

Iskandar pula berkata, dakwaan beberapa media hari semalam juga  tidak tepat.

“Tidak ada sebarang arahan. Saya tidak menerima sebarang arahan,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan tersebut.

– SH

.