PAS SEDIA TANDING 42 KERUSI DUN SELANGOR

PAS bersedia bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pengumuman itu dibuat di sebalik usaha beberapa pemimpin PKR untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan PAS.

“PAS Selangor bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru atau lebih pada pilihan raya umum ke-14 akan datang dan bersedia meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi oleh BN atau Pakatan Harapan.

“Justeru PAS Selangor setelah meneliti data dan fakta serta kesediaan jentera, ingin menegaskan bahawa kami bersedia untuk meletakkan calon sekurang-kurangnya di 42 kerusi DUN Selangor pada PRU-14 nanti,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding di 42 kerusi itu berdasarkan data yang dikumpul oleh parti itu dan selepas mengukur persiapan yang dibuat oleh jentera parti.

“PAS Selangor yakin semua jentera dan pimpinan PAS di semua peringkat telah bersemangat dan bersedia untuk menghadapi PRU-14 berdepan parti lawan sama ada BN ataupun HARAPAN,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen katanya, calon-calon yang mewakili parti itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS.

“Kita juga bersedia bertanding kerusi PKR di Kajang dan Gombak (DUN Bukit Antarabangsa),” katanya.

Ketika ini kerusi DUN Kajang dan DUN Bukit Antarabangsa masing-masing diwakili Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada bulan Mac lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain Kelantan yang dimiliknya, parti itu sedang mengintai Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor, bersama-sama dengan 40 kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya umum 2013, PAS meletakkan 21 calon negeri di Selangor dan memenangi 15 kerusi.

Walaupun PKR memenangi hanya 14 kerusi, PAS dan rakan sekutu Pakatan Rakyat lain bersetuju supaya parti itu menerajui kerajaan negeri Selangor.

– M’kini

.