PAS ‘SEDIA PERINTAH’ PAHANG

Selepas Perak, PAS Pahang pula membayangkan keazaman mereka menawan negeri berkenaan daripada BN melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Untuk Pahang, PAS negeri itu dilaporkan sudah merangka pelan tersendiri dengan meletakkan calon di sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi parlimen.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata pertambahan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan semasa.

“Setelah putus hubungan dengan DAP, PAS bebas bertanding mana-mana kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini,” katanya berucap sempena Konvensyen PAS Pahang di Kuantan dan dipetik BH Online hari ini.

Parti itu juga, kata Rosli, memutuskan untuk tetap meletakkan calon pada mana-mana kerusi yang ditandingi calon Parti Amanah Negara (AMANAH).

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi manakala parlimen 14. Untuk membolehkan kerajaan dibentuk, sesebuah parti atau gabungan perlu mendapat majoriti di DUN. Bermakna PAS perlu memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi pada PRU ke-14 nanti.

Pahang perlu diselamatkan

Sebelum ini seorang pimpinan PAS juga menyatakan keyakinan mereka membentuk kerajaan di Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria pada 13 April lalu menyatakan parti itu akan eletakkan calon di 30 daripada 59 kerusi DUN.

Formula itu dipercayai akan menjadi mudah dengan menganggap Umno tidak meletakkan calon mereka di kerusi yang ditandingi PAS.

Razman juga berdoa supaya orang Umno akan mengundi PAS.

“Selepas PRU14 insya-Allah PAS bentuk kerajaan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata kerajaan negeri dalam keadaan tenat ketika ini – khususnya dari sudut kewangan – dan perlu diselamatkan.

“Tidak banyak hasil yang dapat dijana, antaranya kerana kegagalan memungut hasil balak, pasir, cukai tanah air dan lain-lain,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

– M’kini