PAS SEBENARNYA MAIN POLITIK ‘MAKAN KELILING’

SHAH ALAM – Pas hanya berlindung di sebalik prinsip politik matang dan sejahtera, kata Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, parti itu sebenarnya bermain politik makan keliling yang akhirnya memberi keuntungan buat Pas, bagaimanapun merugikan kedua-dua pembangkang dan BN.

“Pas mengatakan mereka mahu lawan BN namun demikian dalam masa yang sama Pas tidak pula mahu bersama pakatan pembangkang menentang BN. Sikap Pas yang mahu berkerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja tanpa DAP dan Amanah sebenarnya tidak menguntungkan pakatan pembangkang bahkan melemahkan lagi pembangkang.

“Tindakan ini mengelirukan rakyat dan akan menafikan aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan kepimpinan negara yang baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, Pas akan menganggap blok-blok sedia ada perlu bergantung harap kepada Pas untuk membentuk kerajaan.

“Bila situasi ini berlaku, blok BN dan Pakatan Harapan akan dilihat lemah dan tidak berupaya untuk memperoleh sokongan majoriti rakyat sekali gus Pas mengganggap mereka akan dilihat sebagai ‘king maker’ politik negara.

“Pas membayangkan pada waktu itu harga mereka akan menjadi mahal. Segala tuntutan Pas perlu dipenuhi oleh mana-mana pihak yang perlukan bantuan mereka. Tanpa kerjasama Pas maka kerajaan yang kukuh tidak boleh terbentuk,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sany turut mendakwa Pas hanya mahu hidup selesa atas perpecahan dan kesusahan pihak lain.

“Rakyat jangan keliru dengan politik makan keliling Pas. Bagi mengatasi masalah ini maka pakatan pembangkang yang terdiri daripada Amanah, PKR, DAP, dan Bersatu serta Parti Warisan Sabah perlu bersatu hati menolak Pas secepat mungkin.

“Kelewatan membuat keputusan akan memberi kelebihan kepada Pas dan Umno-BN. Akhirnya, negara yang tercinta ini terus dihancurkan dan kita gagal untuk mencapai hasrat dan cita-cita rakyat Malaysia!” ujarnya.

– Sinar Harian

.