‘PAS POLITIKKAN MEMALI UNTUK SERANG DR M, RAIH UNDI’

Bekas pemimpin PAS menganggap insiden Memali yang berlaku 32 tahun lalu kini sengaja ditimbulkan kembali hanya untuk meraih undi orang Melayu.

Timbalan Presiden AMANAH Salahudin Ayub berkata menjadi perkara biasa apabila seseorang individu menentang BN maka segala kesalahan lampau akan diungkit kembali.

“Kita menganggap perkara itu sebagai sudah berlalu hampir empat dekad, sudah lama. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kita baru ia ditimbulkan kembali.

“Apabila seseorang itu menentang BN, maka segala kesalahan masa lalu diungkit kembali. Saya tak pandang isu itu terlalu besar, dan itu berlaku pada ketika itu.

“Ini hanya politically motivated untuk ketika ini. Ia hanya isu dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan di kalangan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Wanita AMANAH di The Mines 2.

Katanya lagi, pihaknya menerima Dr Mahathir kerana menentang kezaliman paling besar iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Insiden Memali kembali diperkatakan apabila peserta forum Nothing to Hide 2.0 tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Mahathir berhubung peristiwa itu.

Secara tiba-tiba terdapat individu membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar.

Menurut Salahuddin lagi, ketika beliau berada di dalam PAS pihaknya pernah mengadakan majlis sambutan memperingati Ibrahim Libya.

Namun selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Kedah, pihaknya menghentikan majlis sambutan itu bagi mengelak kekecohan dan rasa tidak puas hati.

Parti itu kemudiannya menghentikan majlis tersebut dan hanya membuat sambutan memperingati sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Libya.

– M’kini

.