PAS-PKR: TUNGGU DAN LIHAT – AZMIN

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap perkembangan kerjasama politik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama PAS dalam masa terdekat.

Beliau berkata buat masa ini, pentadbiran kerajaan Selangor gabungan PKR, DAP dan PAS akan terus bekerja sebagai satu pasukan berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga amanah yang diberikan oleh rakyat untuk satu penggal sehingga PRU akan datang.

“Jadi, jangan buat spekulasi (hubungan PAS dan PKR) kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kita akan hormati keputusan Majlis Syura. Sekarang ini, kita tunggu keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan Anugerah Jasamu Dikenang di sini, Selasa.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan exco PAS dalam kerajaan Selangor berikutan keputusan muktamar ke-63 parti Islam itu pada April lepas yang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Kerajaan Selangor mempunyai komposisi tiga exco dari PKR, tiga DAP dan tiga PAS.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menolak desakan Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini supaya beliau merombak pentadbiran kerajaan negeri dengan memberi peluang kepada pemimpin parti itu mengambil alih jawatan yang disandang oleh wakil-wakil PAS pada masa ini.

“Itu cadangan yang kita hormati…semua boleh beri pandangan tetapi saya telah nyatakan pada PRU lepas rakyat telah memilih 15 wakil rakyat PAS, 15 wakil rakyat DAP dan 14 wakil rakyat PKR, jadi dengan gabungan inilah kita dapat membentuk kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

.