PAS PERLU UNDI UMNO WALAU TAMBAH AHLI BAHARU, KATA HADI

MARANG – PAS masih memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk Umno walau mendapat pertambahan 40,000 ahli baharu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS berkata sokongan anggota dan penyokongnya belum cukup untuk “menyelamatkan negara dan umat” dengan Islam, lapor Sinar Harian.

“Kita perlu sedar negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen memerlukan undi yang banyak untuk mendapatkan kuasa,” katanya di Rusila semalam.

“Kita tidak boleh menang dengan ahli-ahli PAS sahaja, tidak boleh menang dengan penyokong-penyokong PAS sahaja. Kita perlu pada orang lain mengundi kita.

“Sama ada orang atas pagar, parti lain termasuk orang Umno sendiri mesti diajak mengundi kita untuk membuat perubahan politik negara kepada Islam.”

Berucap dalam majlis kutipan dana PRU14 di sini, ahli parlimen Marang itu menegaskan PAS berdepan pelbagai cabaran sepanjang 60 tahun merdeka, namun parti itu “tidak mati”.

“Bahkan ahli-ahlinya makin bertambah. Untuk makluman semua tahun ini kita menerima ahli baharu yang sangat mengejutkan. Jumlah 41,000 ahli baharu,” katanya.

Dalam tempoh itu juga, katanya, pelbagai perkara negatif dan membimbangkan menimpa negara serta umat Islam termasuk dalam bidang politik, ekonomi dan masyarakat.

“Mereka tidak sedar bahawa kenaikan harga barang, susahnya kos sara hidup, masalah jenayah dan masalah salah laku ialah kerana salah politik, salah mengurus negara tidak berdasarkan kepada dosa dan pahala diajarkan oleh Islam,” katanya.

– M’kini

.