PAS: PEMBAHAGIAN KERUSI HARAPAN UNTUNGKAN DAP

PAS beranggapan pembahagian kerusi antara parti Pakatan Harapan (HARAPAN) akhirnya akan memberi keuntungan kepada parti DAP, kata naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut beliau, walaupun pembahagian didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah di luar kemampuan parti itu untuk memperolehi kemenangan.

“Saya tidak pasti apa asas perkiraan pembahagian kerusi mereka, tetapi saya rasa terlalu banyak kerusi yang diberikan kepada BERSATU dan di luar kemampuan mereka untuk menguasai kerusi-kerusi tersebut.

“Akhirnya dalam pandangan kita, DAP juga akan untung. Sebab DAP ada pengundi tegar dan kawasan tradisi,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis penyampaian watikah Ahli Majlis Pihak Berkuasa tempatan (PTB) Kelantan 2018, di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, HARAPAN memutuskan BERSATU untuk bertanding sebahagian besar kerusi di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Pengagihan tersebut menyaksikan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi parlimen, diikutik 51 kerusi ditandingi PKR, 35 kerusi untuk DAP dan 27 kerusi milik Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, selain DAP dan PKR, parti lain dalam HARAPAN terpaksa bertarung untuk mencari kemenangan.

“BERSATU sendiri tak ada kerusi kecuali di Pagoh itu pun menang atas tiket BN. AMANAH pun menang kerana PAS, mereka ini adalah kemungkinan besar untuk kalah.

“Dan akhirnya akhirnya DAP juga yang dominan,” katanya.

Tambah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, angka kerusi yang bertanding dengan jumlah kemenangan itu tidak akan sama.

“Mungkin juga (pembahagian) itu untuk menunjukkan kepada pengundi Melayu bahawa bukan DAP yang dominan dalam HARAPAN, tetapi angka bertanding dengan angka menang itu tidak akan sama.

“Kita tengok keputusan akhir,” katanya.

Mengulas cabaran yang bakal di hadapi PAS susulan agihan kerusi antara parti HARAPAN itu, Mohd Amar yakin PAS tidak menghadapi masalah besar.

“Dalam sesetangah kawasan kami rasa pertandingan tiga perjuru itu menguntungkan kita dalam beberapa kes yang sedang kita kaji.

“Dan kita memang mengharapkan pertandingan tiga penjuru,” katanya.

– M’kini

.