PAS NAFI KENYATAAN ‘MELAYU SAHAJA’ SEBAGAI ANGGOTA KABINET

ABDUL Hadi Awang tidak kata semua anggota Kabinet hendaklah terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, menafikan laporan media memetik kenyataan presiden parti Islam itu.

Katanya, tulisan Hadi di HarakahDaily itu telah disalah lapor oleh media.

Menurut Nasrudin, apa yang hendak disampaikan oleh presiden PAS itu ialah Islam sangat terbuka dalam menerima pelantikan bukan Islam sebagai menteri Kabinet berbanding sistem parti politik moden yang hanya menerima mereka yang sealiran idelogi sahaja.

“PAS sangat memahami realiti masyarakat majmuk di negara ini. Presiden PAS turut mengakui dan mengiktiraf kedudukan dan peranan bukan Islam dalam sesebuah kerajaan,” kata Nasrudin dalam satu kenyataannya hari ini.

Hadi dalam satu tulisan yang disiarkan di laman web Harakahdaily minggu lalu menyebut “Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota Kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.”

Dalam tulisan bertajuk “Mengapa Kalau Islam Tidak Boleh?” itu, Hadi bertanya kenapa apabila PAS membuat pendirian sedemikian parti Islam itu dikecam sedangkan parti politik lain pun ada pendirian tertentu dalam soal yang sama.

Hadi turut menjelaskan Islam tegas mewajibkan penganut Islam jadi pemimpin utama yang menjaga dasar dan konsep negara, tetapi menerima bukan Islam kerana kepakaran dan pengurusan.

Menurut Nasrudin, tiada satu pun ayat dan huraian yang dibuat oleh Hadi dalam artikelnya menyatakan semua anggota Kabinet mestilah terdiri daripada kalangan orang Melayu Muslim.

Katanya, kenyataan Hadi yang menyebut, “Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh”, bukanlah bermaksud semua ahli Kabinet, tetapi merujuk kepada ahli Kabinet bagi Wizarah Tafwidh untuk kementerian tertentu yang disyaratkan mesti beragama Islam menurut kaedah fiqh Islam.

“Ia berdasarkan kaedah pembahagian kementerian yang dibuat dalam fiqh politik Islam kepada Wizarah al-Tafwidh dan Wizarah al-Tanfiz. Jika diteliti keseluruhan artikel presiden PAS, perkara ini dapat difahami dengan mudah,” katanya.

Kenyataan Hadi itu mendapat kritikan banyak pihak dalam kalangan pemimpin politik Pakatan Harapan serta mengundang banyak komen negatif mengenai PAS di media sosial.

– https://www.themalaysianinsight.com

.