PAS MOHON SOLAT HAJAT UNTUK HADI AWANG

Kepimpinan PAS hari ini mengajak ahli dan penyokong parti itu supaya berdoa dan menunaikan solat hajat agar presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selamat menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di ibu negara, bermula esok.

Dalam satu kenyataan, setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mengesahkan berita itu meminta semua pihak tidak menziarahi Abdul Hadi ketika ini supaya beliau mendapat ruang rehat secukupnya.

“Saf kepimpinan PAS ingin mengajak seluruh ahli dan penyokong untuk sama-sama berdoa dan menunaikan solat hajat memohon pertolongan Allah, agar Tuan Guru (Abdul Hadi) menjalani rawatan dengan jayanya, dikurniakan kesembuhan, kesihatan dan kekuatan untuk terus memimpin dan membawa mesej perjuangan Islam ke serata dunia,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jenis sakit yang dialami oleh pemimpin berusia 69 tahun itu dan di hospital mana rawatan akan dijalankan.

Ahmad Samsuri juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi ruang rehat secukupnya kepada Abdul Hadi yang juga adalah ahli parlimen Marang dan berkata parti itu akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa.

“Maklumat rasmi dari parti akan disampaikan dari masa ke masa mengikut keperluannya.

“Pihak keluarga dan parti ingin mengucapkan terimakasih kepada semua pihak kerana memberi ruang rehat secukupnya kepada Tuan Guru dengan tidak menziarahi beliau di waktu ini,” katanya.

Nampak ceria

Oktober tahun lalu, Abdul Hadi dimasukkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan susulan biasa dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.

Beliau turut dimasukkan ke IJN pada Januari tahun lalu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempat menziarahinya.

Pada bulan Jun 2014, Najib juga meluangkan masa untuk melawat Abdul Hadi di IJN selepas beliau pulang dari Turki.
Hadi sebelum ini, dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turki selama sebulan kerana mempunyai masalah jantung.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, keadaan Abdul Hadi ketika ini ceria walaupun berada di wad.

“Alhamdulillah, saya baru jumpa beliau pagi tadi. Saya tengok masa jumpa tadi, dia cerita dan bersedia untuk dirawat,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap kesihatan Abdul Hadi.

– M’kini

.