PAS MAIN POLITIK, TIDAK ‘JUJUR DAN IKHLAS’

DEMI agama dan kebenaran, saya ingin menyahut cabaran Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menuding jari menyalahkan akhbar New Strait Times kerana memutarbelitkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang hanya pemimpin Melayu dan Islam boleh menjadi menteri di Malaysia.

Tuan Ibrahim mengatakan tiada satu ayatpun di dalam kenyataan presiden PAS yang mahu Kabinet Melayu sahaja.

Untuk menangkis penafian beliau itu marilah kita meneliti pernyataan presiden PAS itu secara “verbatim” seperti berikut :

Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep.

Presiden PAS menekankan secara nyata yang “Islam tegas mewajibkan” perkara “dasar dan konsep” seharusnya diletak di bawah kepimpinan penganut Islam dan cuma akan menerima bukan Islam “dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep”.

Sekadar ini adalah jelas presiden PAS tegas mewajibkan perkara dasar dan konsep (yang merupakan bidang kuasa yang dirangkumi oleh Kabinet) hanyalah boleh dianggotai oleh penganut Islam.

Dalam pada itu, ditegaskan lagi penganut bukan Islam cuma diterima dalam aspek “kepakaran dan pengurusan.”

Sekali lagi penekanan diberi dan secara nyatanya dinyatakan (expressly) ini tidak termasuk “perkara dasar dan konsep”.

Bukankah jelas kaum bukan Islam dikecualikan (didiskriminasikan) dan dilarang mempelopori isu-isu “dasar dan konsep”?

Bukankah nyata yang jemaah menteri dan menteri adalah pemimpin dalam kementerian yang akan menentukan kata-putus dan cadangan yang menyentuh “perkara dasar dan konsep” duniawi?

Kenapa pula presiden PAS atau partinya harus mendiskriminasikan kaum bukan Islam dengan larangan mereka tidak boleh memimpin atau menyentuh perkara dasar dan konsep?

Adakah ini konsep keadilan dan kemanusiaan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin PAS?

Bagaimanakah kita hendak mempercayai presiden PAS dan partinya sekiranya kenyataan yang dinyatakan dengan begitu jelas sekali dalam bahasa dan organ partinya Harakah Daily boleh dinafikan bila menerima kecaman umum?

Manalah keikhlasan dan kejujuran pemimpin-pemimpin parti PAS kalau mereka boleh berselindung atas kewatakan keagamaan untuk menidakkan kenyataan yang nyata dan jelas dengan hanya menuding jari atau menyalahkan pihak ketiga atas tuduhan fitnah?

PAS yang bermain politik tetapi orang lain pula dituduh berpolitik dan menfitnah!

Adakah pemimpin-pemimpin PAS kebal atau mereka sudah terlalu angkuh diri ? Manusia tetap manusia dan bernafsu serta berkelemahan. Mereka tidak boleh dipercayai sepenuhnya seakan mereka itu malaikat?

Saya setuju dengan petikan presiden PAS seperti berikut :

”Islam adalah agama yang mampu berhujah dengan semua pihak kalau dibuka peluangnya dengan adil dan mahu mencari kebenaran dan penyelesaian “

Atas kebenaran, saya ingin memohon keadilan (hak) untuk mematahkan dan menyangkal hujah presiden PAS yang tidak benar dan tidak tepat seperti berikut :

1. Hujah presiden PAS :

Persoalannya, mengapa Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan setelah menang?

Jawapan saya:

(i) Islam tidak pernah dihalang daripada kemenangan. Sebaliknya Islam ditegakkan dan penerapan nilai-nilai dan syariah Islam dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan berjaya dan tersusun.

(ii) Hadi terlalu emosi, provokasi atau “confuse” apabila beliau dengan memberi kenyataan salah kononnya ” Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan setelah menang”.

Presiden PAS seolah-olah menyamakan diri dan parti dengan Islam.

Sebenarnya Islam adalah satu agama yang disegani dan keagungan serta kemenangan Islam adalah berterusan di Malaysia, khususnya dalam sejarah pemerintahan BN.

Hadi harus mengakui kebenaran PAS pernah menang di Trengganu dan dilantik sebagai menteri besar Trengganu pada 1999.

Malangnya kepimpinan beliau setelah menang gagal apabila PAS ditolak (bukannya dijatuhkan) pada 2004 oleh kerana kegagalan mentadbir Terengganu dengan baik.

Sebenarnya kerajaan parti PAS di bawah kepimpinan Hadi ditolak dan bukannya Islam dijatuhkan setelah menang di mana rakyat Trengganu telah sedar dan memilih kembali kepada kerajaan BN.

Sekali lagi saya ingin mengingatkan presiden PAS dan partinya supaya berlaku adil pada agama dan negara. Janganlah parti PAS lupa diri sehingga menyamakan diri, pemimpin atau parti dengan agama Islam yang agung, suci, dan murni.

Adalah jelas PAS dan pemimpin mempunyai niat dan nafsu hendak merampas kuasa melalui politik. Islam pula adalah agama yang suci, murni dan bebas daripada nafsu memperolehi kuasa, kewangan dan kepentingan.

Oleh itu, PAS janganlah cuba dan tidaklah boleh disinonimkan dengan Islam.

– https://www.themalaysianinsight.com

.