PAS MAHU TERUS KEKAL DI SELANGOR, APA AGAKNYA PENDIRIAN MAJLIS SYURA NANTI?

Muktamar Pas di Kedah baru-baru ini telah membuat keputusan sebulat suara agar hubungan parti itu dengan PKR ditamatkan.

Bagaimanapun,  keputusan muktamad masih terletak di tangan Majlis Syura Pas yang dikatakan akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini.

Jika keputusan Majlis Syura senada dengan keputusan muktamar, bermakna terlerailah hubungan kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR.

Kesan paling ketara daripada keputusan itu ialah semua Exco Kerajaan Negeri, pegawai atau pengarah dalam GLC, ketua kampung dan pelbagai penerima jawatan lain daripada Pas dalam pentadbiran Selangor mesti melepaskan kedudukan masing-masing.

Tiada alasan lagi untuk mereka terus berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan dalam keadaan sudah “terjatuh talak”, kecuali jika mereka bertindak menyertai PKR, Amanah dan lain-lain parti dalam gabungan tersebut.

Tempoh seminggu dua tentunya membuatkan semua perhatian tertumpu kepada tarikh mesyuarat Majlis Syura Pas untuk mengetahui pendirian sebenar Pas, seterusnya kedudukan wakil-wakil lantikan Pas dalam kerajaan negeri Selangor.

Selepas muktamar berakhir, apabila Pesuruhjaya Pas Selangor bertukar daripada Iskandar Samad kepada Solehan Mukhyi, gambaran yang muncul ialah ia dikatakan sebagai langkah awal Pas untuk ” berpatah arang, berkerat rotan” dengan PKR.

Solehan yang dilihat sebagai pro Hadi Awang dikhabarkan paling bersetuju untuk semua wakil Pas melepaskan semua kedudukan mereka dalam kerajaan negeri sebagai langkah menjadikan pertembungan tiga penjuru dalam PRU 14 akan datang benar-benar menjadi realiti.

Namun, nada Solehan ternyata agak mengejutkan. Beliau dengan tegas menyatakan Pas tidak akan keluar daripada kerajaan negeri Selangor sehinggalah pilihanraya umum akan datang.

Hujah beliau ialah kerana mandat yang diberi rakyat bertempoh sehingga pilihanraya baru diadakan.

“Matlamat PAS hendak jaga dasar dalam parti tetapi tetap terus berada dalam kerajaan.

“PAS berada dalam kerajaan negeri hari ini kerana dipilih dan diberi mandat dalam PRU lalu, maka kerajaan negeri hanya akan terbubar melalui pembubaran DUN,” tegas beliau.

Apakah mesej daripada kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru itu?

Bagaimana untuk Pas terus berada dalam kerajaan Selangor jika Majlis Syura memutuskan hubungan dengan PKR ditamatkan?

Bersediakan Majlis Syura membuat keputusan yang sama dengan muktamar yang akhirnya menyebabkan ramai pemimpinnya kehilangan jawatan dan kedudukan?

Adakah kenyataan Solehan itu memberi gambaran Majlis Syura akan menolak keputusan muktamar?

Apakah mungkin Majlis Syura akan membuat keputusan  menangguhkan ketetapan muktamar itu sehingga pilihanraya umum diadakan dengan alasan yang sama seperti yang Solehan berikan?

Jika itu yang terjadi, maka Pas benar-benar mengamalkan politik matang dan sejahtera – di peringkat pusat pemimpinnya seronok bersama Najib, UMNO dan BN manakala di Selangor pula Exco dan pelbagai penerima jawatan lain tetap bahagia dengan gaji dan ganjaran atas nama kerajaan Pakatan Harapan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.