PAS MAHU TANDING LEBIH 13 KERUSI DI MELAKA

BANDARAYA MELAKA – Pas akan bertanding lebih daripada 13 kerusi Dun di samping akan menambah lagi kerusi Parlimen di Melaka pada PRU14.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek berkata, tindakan itu dibuat biarkan terpaksa berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru dan pada masa sama akan menentang musuh tradisinya, BN.

Menurutnya, Pas Melaka kini sudah pun menghantar senarai nama calon kepada Pas pusat dan akan mengumumkan nama-nama terbabit sebaik mendapat pengesahan.

“Jentera kita di peringkat Dun sudahpun berada di dalam keadaan siap siaga dengan kursus petugas serta dana malah, Pas negeri akan membuka bilik operasi PRU14 pada Oktober depan di lokasi-lokasi strategik.

“Kita juga sedang dalam program jelajah ‘Karnival Kita Satu Hati’ demi untuk mendekati rakyat, Alhamdulillah semua kawasan kita dah turun, sambutan masyarakat agak memberangsangkan.

“Kita akan teruskan usaha ini di beberapa Dun yang masih berbaki. Di sesetengah tempat turut mendapat sambutan daripada kaum Tionghua dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bagi mengumpul dana PRU14 di Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan kepimpinan Pas serta 700 tetamu.

Beliau berkata, Pas adalah sebuah parti yang mampu berdiri sendiri berikutan meletakkan Islam sebagai keutamaan.

“Pas Melaka ada 195 cawangan dan enam kawasan membabitkan keahlian seramai 24,000 orang selain penyokong. Selepas krisis dalaman Pas pada 2015, Pas Melaka berjaya menambah ahli baru hampir 1,500 orang.

“Pada PRU13 lalu Pas bertanding di 13 kerusi Dun dan 1 kerusi Parlimen,” katanya.

Pada malam berkenaan sejumlah RM80,000 berjaya dikumpulkan menerusi hasil jualan amal potret pimpinan Pas.

– Sinar Harian

.