PAS LEGA KHALID IBRAHIM HADIRI KONVENSYEN UMNO

PAS berkata parti itu berasa ‘lega’ apabila bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menghadiri Konvensyen Umno Selangor semalam.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata dengan kehadiran anggota parlimen Bandar Tun Razak itu, kini jelas Khalid berada di pihak parti pemerintah.

“Saya berasa lega Tan Sri Khalid Ibrahim muncul di Konvensyen Umno dan apa yang penting sekarang adalah kita tahu beliau berada di pihak yang mana (Umno).

“Sebelum ini ada ura-ura mengatakan Khalid akan menyertai PAS tetapi hari ini jelas beliau cenderung kepada Umno,” kata Iskandar kepada Malaysiakini.

Iskandar berkata demikian mengulas kehadiran Khalid ke Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Khalid membuat penampilan mengejutkan di Dewan Merdeka PWTC bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan ucapan perasmian pada acara yang diadakan secara tertutup itu.

Turut hadir seorang lagi bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Zahid juga memberitahu pemberita tiada keperluan bagi mana-mana pihak untuk mempersoalkan kewajaran Umno Selangor melibatkan Abdul Khalid, serta bekas MB Selangor yang lain sebagai sebahagian jentera pilihan raya.

Tuduhan berniat jahat

Malah, Abdul Khalid pada sidang media selepas menghadiri konvensyen Umno Selangor itu turut mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

“Saya akan kerja untuk tolong Umno, saya juga beritahu rakan-rakan dalam PAS. Saya beritahu rakan-rakan PAS yang telah menolong saya, saya tolong juga mereka untuk penyatuan ummah,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata beliau mahu mengekalkan hubungan dengan kedua-dua parti PAS dan Umno atas dasar untuk memastikan kemajuan berterusan rakyat Selangor.

image: https://i.malaysiakini.com/1188/df59ac4562179f1077f575fe09af13b6.jpeg

Khalid juga mengulangi pendirian beliau untuk tidak berhasrat bertanding dalam PRU14 dan akan kekal sebagai anggota parlimen bebas.

Mengulas kenyataan itu, Iskandar yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor menegaskan ia sama sekali tidak masuk akal.

“Rakyat Selangor telah dua kali menolak Umno iaitu pada 2008 dan 2013, jadi tidak ada sebab untuk PAS mendekati Umno di Selangor.

“Umno menyerang PAS bertubi-tubi di Selangor melalui Tan Sri Noh Omar dan pimpinan lain. PAS dan Umno berperang mulut di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Tidak masuk akal Umno dan PAS akan bekerjasama di Selangor,” katanya.

Iskandar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka berkata dakwaan kerjasama itu sebenarnya berniat jahat.

“Mereka yang berkata PAS akan tubuh kerajaan negeri dengan Umno sebenarnya berniat jahat.

“Tuduhan itu bertujuan untuk merosakkan kredibiliti PAS,” tegas Iskandar.

– M’kini

.