PAS LEBIH TERUK DIZALIMI UMNO BERBANDING DAP – ISKANDAR SAMAD

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata parti itu melalui pengalaman dizalimi Umno dan BN lebih teruk berbanding parti-parti lain, termasuk DAP.

Kata Iskandar parti berkenaan pernah berdepan pelbagai pengalaman hitam, termasuk pembunuhan ahli mereka di Memali, Kedah, serta penahanan Dr Burhanuddin Al-Helmy di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Burhanuddin adalah presiden ketiga PAS yang menduduki jawatan itu antara 1956 hingga 1969.

Justeru kata Iskandar PAS sentiasa lebih berhati-hati untuk membincangkan apa saja isu dengan Umno serta BN berbanding parti lain.

“PAS banyak tertipu dengan Umno. Kita pernah berada dalam BN; ahli kita mati dalam tragedi Mamali.

“Apabila kita berurusan dengan Umno kita amat berhati-hati kerana sebelum ini banyak ahli PAS ditangkap, masuk ISA macam Datuk Burhanudin Al-Helmy yang mati diseksa dalam ISA,” katanya pada sidang media selepas majlis Himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Taman Medan, Petaling Jaya, hari ini.

LASAK menghimpunkan wakil daripada pelbagai kelompok rakyat yang menyatakan pandangan mereka terhadap bermacam isu melanda negara.

Dianggarkan kira-kira 1,000 orang ahli dan penyokong PAS menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Iskandar berbanding parti lain PAS menjadi pihak paling teruk dizalimi Umno.

Kemuka solusi tak lama lagi

Oleh sebab itu katanya tidak wajar mana-mana pihak menuduh PAS akan menyertai Umno berdasarkan sejarah silam mereka yang dijadikan mangsa parti berkenaan.

Iskandar berkata demikian mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap Pakatan Harapan adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, sekiranya Dr Mahathir boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian, PAS juga ada pendapatnya sendiri.

“Kita pun boleh cakap, kalau tidak bersama dengan Blok Ketiga (gagasan dibawa PAS) bermakna sokong Najib,” katanya.

Sementara itu, Iskandar yang juga exco Selangor memberitahu isu yang dibangkitkan oleh akar umbi dalam LASAK hari ini jelas menunjukkan PAS menolak BN kerana parti itu menimbulkan masalah kepada rakyat.

“Daripada ucapan-ucapan wakil akar umbi, kita bersama-sama menentang BN,” katanya.

Antara isu dibangkitkan rakyat, kata Iskandar adalah kewujudan perkhidmatan Uber dan Grabcar yang bersaing dengan teksi, tiada kontrak artis, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kebajikan untuk anggota tentera

“Hari ini kita bawa isu ini, tentang apa yang BN buat (dan menyusahkan rakyat). Aadakah ini bermakna kita sokong BN?” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Iskandar berkata PAS akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan tuntutan yang disuarakan kepada mereka.

Selain itu katanya PAS Selangor akan cuba menyelesaikan isu itu dalam tempoh tiga bulan serta membentangkan penyelesaian dalam masa enam bulan pada perhimpunan LASAK 2.0 nanti.

MKINI

.