PAS: KINI WAKTU TERBAIK DEDAH LAPORAN 1MDB

Sekarang adalah waktu terbaik untuk mendedahkan laporan 1MDB kepada umum, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan itu dibuat susulan persetujuan penyelesaian 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) selepas proses timbang tara bertahun lamanya melibatkan pertikaian berbilion dolar.

“Memandangkan 1MDB menyebut bahawa penyelesaian timbang tara ini merupakan sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, sudah tiba masanya laporan audit 1MDB didedahkan kepada umum bagi rakyat memahami bagaimana pelan rasionalisasi ini akan dijayakan.

“Sepatutnya tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan daripada laporan 1MDB itu,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut penyata kepada Bursa Saham London, IPIC semalam berkata, pihaknya akan menerima sejumlah AS$1.2 bilion menerusi dua kali bayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember ini.

1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pula bersetuju memikul tanggungjawab dalam dua bon yang diterbitkan oleh kumpulan 1MDB yang dijamin oleh 1MDB dan IPIC.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun itu dinamakan “penyelesaian”, ia langsung tidak menguntungkan 1MDB mahupun Malaysia.

Katanya, IPIC mendapat hampir segala yang dituntutnya pada 2016.
Sementara, Kementerian Kewangan pula, kata Tuan Ibrahim lagi, terdedah dengan pembayaran hutang berserta faedah sehingga mencecah AS$4.7 bilion.

Ini termasuk AS$1.2 bilion yang dipinjam kepada 1MDB pada 2015 dan semua tanggungjawab semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang akan matang pada 2022.

“1MDB menyebut bahawa pengewangan unit dana pelaburan menjadi satu cabaran besar dalam mematuhi penyelesaian timbang tara antara 1MDB dan IPIC.

“Sekiranya 1MDB gagal menunaikan unit dana pelaburannya, siapa yang bakal membayarnya? Apakah duit akan disedut dari rakyat lagi?” soalnya.

– M’kini