PAS KINI BENTENG PERTAHANAN NAJIB, KATA DAP JOHOR

PAS kini dilihat menjadi benteng pertahanan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan juga kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mengkritik pemilihan Dr Mahathir Mohamad selaku calon perdana menteri interim Pakatan Harapan (PH).

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali, parti Islam itu sudah tidak lagi mengkritik salah guna kuasa Najib akhir-akhir ini.

“Oleh itu, kenyataan (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd) Zuhdi (Marzuki) pada hemat saya tidak lebih sekadar suatu langkah untuk melemahkan usaha PH yang sedang berkerja untuk menolak kepimpinan Najib yang terpalit pelbagai skandal dan menumbangkan BN dalam PRU14 yang akan datang,” kata Sheikh Omar dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhdi, dalam satu kenyataan berkata, tindakan memberikan kuasa semula kepada Dr Mahathir akan menyaksikan gerakan reformasi yang didukung blok pembangkang sejak dua dekad lalu berkubur.

“Selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, beliau memperkenalkan dasar dan amalan pemerintahan yang merugikan negara dan rakyat.

“Ketika pemerintahan Dr Mahathir, beliau melakukan pemusatan kuasa yang cukup jelas dengan menjadikan kuasa perdana menteri begitu besar sehingga berlaku campur tangan terhadap institusi kehakiman dan legislatif.

“Malah, beliau sebagai perdana menteri berjaya menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui dua pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1983 dan 1993,” kata Zuhdi.

Sheikh Omar, yang juga bekas aktivis PAS berkata Zuhdi gagal mengikuti justifikasi PH dalam menamakan calon perdana menteri disaat Anwar Ibrahim masih lagi dalam tahanan.

Sheikh Omar turut mengingatkan pemimpin PAS itu tentang tindakan parti yang cuba menggagalkan pencalonan Anwar sebagai perdana menteri Pakatan Rayat menjelang PRU13.

“Zuhdi tidak perlu berlagak baik, mencadangkan kepada PH agar mengemukakan calon perdana menteri yang dapat meneruskan agenda reformasi yang dicetuskan Anwar.

“Zuhdi sepatutnya sedar PAS sendirilah sebenarnya parti yang menggagalkan cadangan untuk mengangkat nama tokoh reformasi tersebut (Anwar) menjelang PRU13 lalu.

“PAS pada ketika itu menamakan Ahli Parlimen Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri mereka,” kata Sheikh Omar lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.