PAS KEDAH TERUS DISERANG ‘BENA PERANG’

Berita besar dalam jelumu politik negara dan sedikit memeranjatkan semalam ialah tindakan Ketua Pembangkang Pas di DUN Kedah, Ir Amiruddin Hamzah yang keluar meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM).

Keterkejutan besar ialah bagi Pas, manakala terkejut kecil ialah bagi orang-orang Amanah. Penyertaan Amiruddin itu memberi pukulan buat Pas Kedah. Walaupun kata seorang pemimpin Pas Kedah tindakan Ir Amiruddin itu sudah dijangkakan kerana beliau sudah lama berada dalam majlis-majlis Pakatan Harapan tetapi ia tetap sesuatu mengejutkan.

Kenyataan atau ulasan pemimpin Pas itu bak kata orang hanya untuk memaniskan mulut sahaja tetapi peritiswa itu tetap menyakitkan hati. Ianya bagaikan si musang tidak dapat anggur dikatakan anggur itu masam. Begitulah sikap Pas dalam menerima takdir menimpanya ekoran keluarnya Amiruddin.

Pas Kedah khasnya terpaksa mencari alasan tepat untuk membalas tindakan itu serta meredakan perasaan kecewa ahli dan penyokongnya dengan tidakan Amiruddin yang mengejutkan itu.

Kalau benar pemergian Amiruddin itu tidak memberi apa-apa kesan kepada Pas, buat apa timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man memberi reaksi segera dengan nada mengugut Amiruddin memberi ingatan berkenaan dengan baiah (bahalul)? Untuk apa. Bukankah ingatan terhadap sesuatu yang “bahalul” itu untuk menekan Amiruddin?

Begitu juga kalau Pas Kedah sudah menduga apa yang berlaku kenapa dikekalkan lagi Amiruddin sebagai ketua pembangkang. Kalau Pas Kedah bijak sudah tentu ia menukar Amiruddin dengan wakil lain, biarkan Amiruddin keluar tanpa memegang title Ketua Pembangkang. Tindakan itu juga dilihat yang Pas dapat mengesan gatal dalam kain sarung.

Kata Tuan Ibrahim, Amiruddin masih ada tanggungjawab terhadap baiah yang dilafazkan. Tampaknya Tuan Ibrahim mahu menggunakan baiah itu sebagai suatu hukum dari Allah terhadap Amiruddin yang meninggalkan Pas seperti mana dikenakan kepada wakil rakyat Pas lain yang meninggalkan parti tersebut.

Cukuplah Tuan Ibrahim, hentikan menggunakan hukum agama untuk dijadikan tali rapuh mengikat ahli-ahli Pas. Berpolitiklah dengan rasional dan menggunakan akal yang sihat. Eara mengikat orang dengan menggunakan agama sudah pun berlalu. Hari ini golongan yang arif mengenai hal ehwal agama dan hukumnya bukan lagi hanya terdiri daripada pemakai serban dan kopiah putih.

Sudah pasti sebelum membuat keputusan Amiruddin sudah berfikir panjang dan telah mendapat keputusan jelas (yakin) berhubung apa yang bimbangi oleh Tuan Ibrahim itu. Bagi Adun Anak Bukit itu sudah tentu dia telah yakin bahawa baiah itu tidak memakan diri dan ia sesuatu helah politik semata-mata yang tidak ada kena mengena dengan soal baiah. Pas jangan ingat hanya puak partinya sahaja takutkan neraka, orang juga tidak minat dengan negara.

Apa dapat difahami apabila Amiruddin mengambil keputusan meninggalkan Pas bahawa baiah yang diagung-agungkan oleh Pas serta dijadikan senjata menakut-nakutkan orang itu hanya perkara karut marut semata-mata. Ia menakut-nakutkan bagi mereka yang bertahkid buta. Manakala mereka yang memahami agama dan titik tara dengan baiah itu tidak pun berasa apa-apa melainkan ia dianggap sebagai hantu tujuan menakutkan mereka yang bodoh semata-mata.

Tuan Ibrahim tidak payah menggunakan perkara-perkara yang karut untuk mengubati hati yang sakit. Kalau sakit telanlah ubat jangan main jampi serampah. Sebaiknya beliau membiarkan sahaja Amiruddin berlalu bagaikan angin lalu daripada cuba memberi ingatan mengenai baiah bahalul itu. Cara itu lebih lunak.

Berkaitan dengan penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM itu timbul persoalan kenapa beliau menyertai parti Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menyertai parti Mohammad Sabu, AMANAH? Kalau hendak dikira Amiruddin patut menyertai AMANAH memandangkan dalam parti itu penuh dengan kawan-kawannya. Dia lebih mengenali orang-orang dalam AMANAH daripada orang dalam PPBM.

Mengenai ini saya berasa ianya pasti ada strategi tertentu setelah menyedari keadaan dan suasana politik di Kedah kini. Boleh jadi juga penyertaan beliau kepada PPBM itu kerana ia lebih memberi keselesaan kepadanya daripada menyertai AMANAH. Seperti mana kata pengerusi AMANAH Kedah Dr Ismail Salleh, penyertaan Amiruddin itu ke dalam PPBM ia tetap menyuntik kekuatan untuk PH.

Seperti mana maklum sesetengah orang Pas di Kedah yang masih berfahaman konservetif, akur buta kepada dogmatik agama sukar untuk menerima AMANAH yang dianggap sebagai pengkhianat. Maki hamun kepada mereka yang menyertai AMANAH masih bertaburan di Kedah. Mungkin untuk mengelakkan perkara itu menimpa dirinya maka Amiruddin memilih PPBM yang dikira ruang berkecuali untuk beliau terus mengendalikan kolek perjuangannya.

Pun begitu beliau tidak dapat lari akan dicemuh dan dimaki hamun oleh orang-orang Pas terutamanya yang menganggap Paslah satu-satu parti maksum dan membimbing orang ke syurga. Tetapi sekali lagi dirasakan Amiruddin sudah pun menyiapkan kekuatan mantal dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran itu.

Antara alasan yang diberikan kenapa beliau bertindak keluar Pas ialah kerana tidak dapat menerima pendirian parti itu untuk terus bersendirian dan enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Umno. Itu yang mengecewakan beliau. Beliau tidak pula memberi tahu atau membayangkan yang Pas akan bekerjasama dengan UMNO sehingga menyebabkan beliau tidak lagi betah berada dalam parti itu. Mungkin ada dalam kamus politiknya yang Pas akan bersalaman dengan Umno.

Kesimpulannya tindakan Amiruddin itu sesuatu tindakan yang berani yang dilakukan untuk menyedarkan pihak-pihak tertentu dalam Pas. Paling mustahak sekali ialah tindakan itu sebagai menafikan pegangan karut Pas terhadap baiah yang dijadikan rantai untuk mengingatkan ahli Pas agar sujud dan bersetia secara buta tuli dengan parti berkenaan.

Dan dengan keluarnya Amiruddin dari Pas itu ia tidak menambahbaikkan buat Pas sebaliknya  menjadikan sawah Pas di Kedah seperti terus diserang “bena perang” – Hopper Burn. Dengan keluarnya Amiruddin boleh dikatakan pemimpin Pas yang berpengaruh dan profesional sudah tiada lagi dalam Pas negeri itu. Sebelum ini tokoh-tokoh seperti Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Dr Ismail Salleh telah pun meninggalkan Pas.

– http://msomelayu.blogspot.com/

.